Selasa, 28 September 2010

Bawaan Hidup

بسم الله الرحمن الرحيم
Cara bawaan hidup terbahagi kepada tiga bahagian

1. Cara bawaan hidup yang keji dan dilarang iaitu segala apa jua cara bawaan hidup yang dilakukan dengan keadaan yang menyeleweng dari jalan yang ditetapkan Allah atau Rasul Nya, lebih-lebih lagi yang menentang hukum Allah (hukum syaraq)

2. Cara bawaan hidup yang disuruh dan dipuji seperti mengerjakan sembahyang, puasa dan lain-lainnya baik yang fardhu maupun yang sunatnya, juga melakukan amal-amal keabajikan untuk masyarakat umumnya

3. Cara bawaan hidup yang diharuskan dengan syarat-syarat yang tertentu, seperti berhias-hias dan bersolek-solek pada tubuh badan, rumahtangga atau kenaikkan, berladzat- ladzat dengan makanan, minuman dan lain-lainnya, juga bersukaria dengan permainan dan hiburan. Bahagian yang ketiga ini diharuskan dengan syarat-syarat yang berikut :

a). Tidak melampaui batas hukum syaraq, dasar jimat cermat, dan peraturan kesihatan juga peraturan berjiran dan bergaul

b). Tidak bertujuan menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah atau berlawan-lawan, atas mengatasi

c). Tidak meleka atau melalaikan daripada menyempurnakan segala yang diwajibkan Allah atau yang digalakkan menyempurnakan nya

Jika dilakukan oleh seseorang dengan tujuan mendapat kesihatan dan kecergasan untuk menyempurnakan amal ibadat kepada Allah serta mencegah diri dari maksiat, juga untuk menjalankan khidmat yang suci bagi faedah masyarakat, dan untuk memberi pertolongan atau kemudahan kepada sesiapa yang mustahak diberikanya - maka ia mendapat pahala dengan sebab tujuanya atau niat yang baik itu sehinggakan bersatu, bersuka-suka dan berladzat-ladzat suami isteri pun- jika denga tujuan mendapat anak yang soleh atau menyekat keinginan daripada tidak diredhoi Allah, maka itu juga ada padanya pahala.

Dengan itu maka pintu bagi mendapat balasan baik dari Allah Taala sedia terbuka kepada setiap orang mukmin yang menjalankan kerjanya sehari-hari, meliputi pembesar, pemimpin, kakitangan pejabat atau lain nya, jika kerja itu dilakukan dengan tujuan baik yang diredhoi Allah.

Kesimpulan nya :
Manusia semasa hidupnya hendaklah berusaha dan beramal untuk alam dunia dan alam akhirat bersama, tetapi hendaklah diutamakan dan didahulukan perkara akhirat kerana ajal masing-masing tidak diketahui masa datangnya, boleh jadi sehari dua lagi atau setahun dua lagi.

Kalau dipercayai demikian keadaan ajal masing-masing, maka akan rugilah orang yang menyangka lambat lagi sampai ajalnya dan akan mendapat untung orang yang menganggap sebaliknya, dengan sentiasa memberi keutamaan kepada usaha beramal untuk negeri akhirat yang nikmatnya kekal abadi dan cukup sempurna. Wabillah hittaufik.

...catatan : nota kuliah ayahanda.

Adab-Adab untuk para Jemaah Haji

بسم الله الرحمن الرحيم
  1. Bermuhasabah terhadap Aqidah dengan memurnikan semula keyakinan terhadap Allah, Rasul, dan Islam
  2. Menjauhkan apa juga kerja Syirik jali atau khafi
  3. Bertaubat dari segala mungkar dan maksiat terutama kerja2 kezaliman terhadap Allah, manusia dan makhluk
  4. Melangsaikan semua hutang yang telah luput waktunya
  5. Meninggalkan bekalan yang secukupnya terhadap anak isteri dan tanggungan
  6. Memulangkan (wadiah ?) sesuatu barangan yang diamanahkan untuk dipelihara
  7. Menjaga batas-batas pergaulan dengan orang yang bukan muhrim termasuklah menutup aurat
  8. Bagi seseorang muslimat hendaklah bersama suami atau bersama muhrim untuk ketanah suci. Begitu juga ketika keluar rumah (di Mekah) dan ketika melaksanakan ibadah haji seperti tawaf, saie dan sebagainya.
  9. Memastikan semua perbelanjaan ibadah haji dari sumber yang halal
  10. Bersedekah sebelum berangkat ketanah suci (diantara kelebihanya untuk menolak bala dan makbul doa)
  11. Mencari sahabat soleh dan berilmu untuk teman ketanah suci dan ditanah suci
  12. Bertemu dengan kaum keluarga, jiran, orang2 soleh, sahabat handai, ahli2 jemaah, rakan2 dan kenalan sebelum ketanah suci untuk memohon maaf dan memohon doa daripada mereka
  13. Membulatkan pergantungan, tawakkal dan pengharapan yang sepenuhnya kepada Allah semata-mata untuk memelihara diri kita, kaum keluarga dan harta benda dari segala bencana dunia dan akhirat
  14. Memperbanyakkan doa supaya Allah dorongkan semudah-mudahnya untuk melaksanakan ibadah haji secara yang mabrur dan dijauhkan dari segala bencana dari diri kita, kaum keluarga dan seluruh muslimin khususnya mendoakan kemenangan jihad Islam, dan kemusnahan seluruh kezaliman terhadap Islam dan umatnya diseluruh dunia
  15. Memperbanyakkan sedekah ditanah suci
  16. Memperteguhkan kesabaran ketika berhadapan dengan ujian2 Allah yang sudah pasti akan dilalui dengan penuh ketenangan dan lapang dada serta dengan penuh redho, kesanggupan untuk berkorban didalam menghadapinya, dan kesanggupan beristiqomah (teguh pendirian didalam melaksanakan ketaatan disepanjang masa dan dalam semua keadaan). Dengan sikap yang tersebut (sabar, berkorban, istiqomah) akan menjurus kekemuncaknya iaitu kesanggupan untuk berjihad didalam segala bentuknya disepanjang hayat dan ianya merupakan natijah yang terpenting dari tarbiah ibadah haji bukti kemantapan iman dan kemurnian nafsu (alnafsul mutmainnah)
  17. Menjauhkan sama sekali apa juga kerja yang haram diMekah terutama kerja2 yang menyakiti saudara2 kita yang seagama yang datang dari seluruh pelusuk dunia (semata-mata untuk mencari keredhoan Allah) dengan sifat marah, kerana dosa dari kerja-kerja yang haram yang dilakukan di Mekah amatlah besar
  18. Menjaga kesihatan secukup-cukupnya kerana ianya kepentingan fizikal yang terutama
  19. Merujukkan apa juga permasalahan / kekeliruan didalam hukum hakam ibadah haji kepada orang-orang yang benar-benar berilmu
  20. Melaksanakan ibadah haji dengan penuh yakin tentang sah batalnya dan kesempurnaan nya
  21. Memunafaatkan masa sepenuhnya disepanjang berada di Mekah dengan ibadat terutama di Arafah, Mina, di Masjidilharam dan Madinah kerana gandaan pahalanya amatlah besar melebihi dari tempat2 yang selain daripada tanah suci
  22. Jangan sekali taksub dengan tempat dan benda-benda di Mekah dan di Madinah seperti taksub dengan Baitullah dan sebagainya
  23. Memahami dan mengambil iktibar dari setiap pengajaran dan falsafah ibadah haji / tempat2 yang diziarahi / perjuangan nabi dan para sahabat seperti tawaf, saie, maqam Rasulullah, maqam sahabat2 nya, Bukit Uhud, Badar dan Madinah
  24. Menjauhi apa juga kerja2 khurafat / bida'ah dalam amal haji serta umrah
  25. Menjauhkan perkara2 yang membatalkan haji / umrah, pantang larangnya dan memastikan kesemua dam dibayar
  26. Bersungguh-sungguh menjaga keselamatan diri dari mara bahaya dan harta benda dari kehilangan/kecurian
  27. Elakkan diri dari perkara2 lepa (sia-sia) seperti perbualan kosong bersama kawan-kawan / banyak tidur / banyak berjalan-jalan / membelibelah / membuang masa / membanyakkan makan dan sebagainya
  28. Anggaplah kesempatan melaksanakan ibadah haji ini sebagai kesempatan yang terbaik, yang pertama dan yang terakhir dengan cara melakukan ibadah haji dan ibadah2 yang lain dengan bersungguh-sungguh dengan cara yang sebaik-baiknya dan menyempurnakan semaksima yang mungkin
  29. Lazimilah bersolat berjemaah di Masjidilharam / Masjid Nabawi. Begitulah juga ketika berada di Arafah dan di Mina disamping tidak meninggalkan sunat-sunat rawatib dan memeperbanyakkan solat2 sunat yang lain terutama sunat Isyrak, Dhuha, Tahajjud, Witir dan sunat Taubat dan memperbanyakkan membaca Al-Quran, zikir, doa dan selawat disepanjang berada ditanah suci
  30. Jangan sekali-kali menceritakan kepada orang lain sebarang perkara yang buruk / kesusahan / kesengsaraan yang dirasainya atau yang dilihat disepanjang berada ditanah suci
  31. Membaca doa-doa khusus ketika melaksanakan ibadah haji / umrah atau ketika berada ditempat-tempat yang tertentu )seperti yang terdapat didalam buku panduan ibadah haji / umrah yang dikeluarkan oleh Tabung Haji) dan juga memeperbanyakkan bertalbiah sebaik-baiknya secara berjemaah (beramai2) pada masanya yang tertentu
  32. Setelah melakukan tawaf Wada' ketika hendak pulang ketanah air hendaklah berazam untuk datang lagi ketanah suci
  33. Melakukan perubahan secara yang menyeluruh setelah kembali ketanah air kearah bertakwa dan tawddu'k kepada kebesaran Allah dan kedaulatan hukumnya, melibatkan diri dengan seluruh amal Islam terutamanya amal jihad untuk memertabatkan agama Allah dan membela umat Islam dari kezaliman musuh-musuh mereka. Itulah natijah dari haji yang mabrur dan falsafah dari penghayatan manasik haji (kerja-kerja dalam ibadah haji). Berakhlak dengan akhlak yang terpuji dan mulia sesuai dengan title haji yang diberikan oleh masyarakat yang merupakan gelaran terhormat dan sanjungan tinggi masyarakat yang wajib dipertahankan kemurnian nya, disamping itu bersihkanlah diri dari apa juga bentuk amalan jahiliah / kufur / syirik / murtad / munafik / fasik / dzolim dan juga jangan sekali-kali merelai atau menjadi penyokong kepada kerja-kerja tersebut. Dengan ciri-ciri yang diatas bagi melayakkan seseorang yang telah menunaikan untuk mendapatkan syurga Allah yang dijanjikan kepada haji yang mabrur sebagaimana sabda Rasulullah SAW (riwayat Al Bukhori) yang bermaksud :
" haji yang mabrur itu tidak ada ganjaran nya (dihari akhirat nanti) melainkan syurga"

Disusun dan disediakan oleh :
Al-Ustaz Al-Haji Zulkarnain bin Haji Ibrahim
Tanggal 31/1/2001

Naskhah asal dalam tulisan jawi, hamba hanya tolong romanisekan, harap maaf jika ada kesilapan yang tidak disengajakan.
Semoga bermunafaat. Wallahuaqlam

Rabu, 22 September 2010

Berfikir daripada apa kita dicipta

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI




SYED Qutub berkata, setelah menyentuh hakikat yang menghubungkan jiwa manusia dengan alam, maka Allah menyentuh pula hakikat perencanaan dan pentadbirannya iaitu hakikat yang dimuliakan dengan sumpah demi langit dan bintang yang muncul di waktu malam.

Asal mula kejadian itulah menunjukkan hakikat pentadbiran ini, dan menyarankan bahawa manusia tidak dibiarkan sia-sia dan percuma.

Firman Allah SWT: (Setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan, daripada apa ia diciptakan.

Sheikh al-Maraghi berkata: “Hendaklah manusia itu berfikir dan merenung permulaan kejadiannya agar menjadi jelas baginya betapa besar kuat Zat Yang Maha Pemberi itu.

“Apabila Dia berkuasa mencipta manusia daripada benda-benda yang tidak hidup, maka pasti Dia akan lebih berkuasa untuk menghidupkan semula selepas mati.

“Oleh itu hendaklah engkau beramal dengan perbuatan-perbuatan yang menggembirakan ketika datangnya saat hidup semula.”

Firman Allah SWT: Ia diciptakan dari air (mani) yang memancut (ke dalam rahim) yang keluar dari ‘tulang sulbi’ lelaki dan ‘tulang dada’ perempuan.

Sheikh al-Maraghi berkata: “Anak itu terjadi daripada sperma yang dipancarkan oleh orang lelaki. Dalam sperma itu terdapat sel mani yang hidup lagi halus yang hanya dapat dilihat menggunakan mikroskop.

“Sel mani terus bergerak sehingga bertemu dengan sel mani wanita yang disebut telur atau ovum. Apabila sel mani dan sel telur bertemu maka terbentuklah janin (embrio).”

Firman Allah SWT: Sesungguhnya Allah Maha Kuasa untuk mengembalikannya (hidup semula sesudah mati).

Ibn Kathir berkata, mengenai ayat ini ada dua pendapat.

Pertama: iaitu kuasa yang mengembalikan air mani yang terpancar itu ke tempatnya semula, tempat di mana ia pertama kali keluar, dan Dia sangat mampu untuk melakukan hal tersebut. Demikian yang dikemukakan oleh Mujahid, Ikrimah dan lain-lain.

Kedua: Kuasa yang mengembalikan manusia yang diciptakan dari air mani yang terpancar itu, iaitu mengembalikan dan membangkitkan ke alam akhirat, maka Dia sangat mampu melakukan hal tersebut.

Sebabnya Rabb yang mampu mengawal penciptaan maka pasti akan sanggup untuk mengembalikannya. Dan Allah SWT menyebut dalil ini di beberapa tempat dalam al-Quran. Pendapat ini dikemukakan oleh al-Dahhaq dan Ibn Jarir.

Firman Allah SWT: Pada hari didedahkan segala yang terpendam di hati (daripada iktikad, niat, dan lain-lainnya).

Ibn Jauzi dalam Zad al-Masir menyebut: “Akan diuji segala rahsia antara hamba dan Tuhannya sehingga zahir kebaikannya daripada kejahatan. Begitu juga yang menunaikannya daripada yang mengabaikannya.

“Ini kerana manusia tersembunyi di dunia tidak diketahui sama ada beliau solat atau tidak? Mengambil wuduk atau sebaliknya?

“Tetapi jika sekiranya pada hari kiamat Allah menzahirkan setiap yang tersembunyi. Maka ia sama ada membawa kebaikan pada mukanya atau kehinaan dengan sebab amalan yang dilakukan.”

Ibn Qutaibah berkata, mereka akan diuji secara rahsia yang terdapat dalam hati.

Firman Allah SWT: Maka (pada saat itu) tidak ada bagi manusia sebarang kekuatan (untuk membela diri), dan tidak ada penolong (yang dapat memberikan pertolongan).

Ibnu Kathir berkata: “Yakni tidak ada seorang pun yang sanggup mengeluarkan darinya. Dengan pengertian lain, tidak ada yang sanggup untuk menyelamatkan dirinya dari azab dan tidak juga ada seorang pun yang dapat memberi pertolongan kepadanya”.

Kekuatan yang dipergunakan manusia untuk melindungi dirinya itu adakala datang daripada dirinya sendiri.

Pada hari kiamat kekuatan yang datang daripada dirinya sendiri itu dihapuskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: Tidak ada baginya suatu kekuatan pun. Adakala kekuatannya itu datang dari luar dirinya.

Kekuatan terakhir ini juga disangkal oleh Allah SWT dengan firman-Nya yang bermaksud: Dan tidak pula ada penolong.

Semoga Allah SWT mengurniakan kita kekuatan dalam mentaati-Nya dan menjadi khalifah di muka bumi yang akhirnya layak menghuni syurga-Nya. Amin.

http://aki2004.wordpress.com/2010/09/18/berfikir-daripada-apa-kita-dicipta/

Khamis, 16 September 2010

Khotamun Nubuwwah

بسم الله الرحمن الرحيم
KHOTAMUN NUBUWWAH.




Menurut Mafhum Hadis yang dipindahkan daripada Imam At-Tirmidzi ra. katanya:

“Sesiapa melihat KHOTAMUN NUBUWWAH dalam keadaan berwudhu’;

1. Pada waktu Subuh nescaya dia dipelihara oleh ALLAH hingga ke petang.
2. Pada waktu Maghrib terpelihara dia oleh ALLAH hingga ke pagi.
3. Ketika berjalan atau bermusafir maka jadilah sepanjang perjalanannya berkat dan selamat, Insya'ALLAH.
4. Sesiapa yang mati dalam tahun tersebut, maka dimatikan dalam iman."

Yang dimaksudkan dengan melihat, ialah melihat ke dalam diri sendiri semasa mengamalkannya.

Tanda Khotamun Nubuwwah pada diri Nabi Muhammad SAW menunjukkan Nabi SAW adalah penamat/penutup segala Nabi dan Rasul. Tanda ini berada pada belikat Rasullullah SAW.

Para Ulama berbeza pendapat mengenai bentuknya. Yang paling masyhur tanda itu seperti telur burung merpati, iaitu berbentuk gumpalan daging yang menonjol disebelah kiri di bahagian atas, memancarkan cahaya, tampak berwibawa dan berbau wangi.

Antaranya sesiapa yang menjadikan tanda Nubuwwah Nabi SAW ini sebagai perhiasan di rumah, maka ahli rumah tersebut akan terpelihara oleh ALLAH daripada penyakit taun dan wabak, terhindar dari kebakaran dan kecurian sepertimana sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Saidina Ali KW ra. di dalam Kitab Mahamatnainiah, yang bermaksud:

"Sesiapa yang menjadikan lukisan KHOTAMUN NUBUWWAH aku perhiasan, dipelihara oleh ALLAH baginya daripada penyakit taun dan wabak dan tidak mati melainkan mati dalam iman dan dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab."

Dan di dalam hadis yang lain yang diriwayatkan daripada Annas ra. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

"Bermula rumah yang ada lukisan KHOTAMUN NUBUWWAH aku di dalamnya, maka dipelihara oleh ALLAH baginya daripada kebakaran dan kecurian, dan daripada setiap musuh, dan tidak dimatikannya melainkan tempatnya di Syurga dan diluaskan oleh ALLAH kuburnya dan diterangi olehNya dengan cahaya."


Amalan Khotamun Nubuwwah.

Antara Fadhilat yang dapat diperolehi hasil dari pengamalan Khotamun Nubuwwah ini adalah sebagai Pendinding Diri, selain 1001 Khasiat yang lain. Kaedah beramal adalah pada waktu pagi dan petang serta sewaktu ingin keluar dari rumah.

Petuanya adalah (Mula Dengan BISMILLAAHIRROHMAANIRROHIIM) :



(1) Ma'rifatkan Ayat di bawah di atas kening kita.

اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَـرِيْكَ لَهُ


ALLAH jualah Tuhan yang tiada sekutu baginya.


(2) Ma'rifatkan Ayat di bawah di atas dada kita.

محمدٌ عَبْدُهُ وَرَسُـوْلُ

Muhammad itu hambaNya dan utusanNya.


(3) Ma'rifatkan Ayat di bawah di atas bahu kanan.

تَوَجَّهُ حَيْثُ شِـئْت

Berhadaplah engkau ke mana sahaja yang engkau kehendaki.


(4) Ma'rifatkan Ayat di bawah di atas bahu kiri.

فَإِنَّكَ مَنْصُـوْرُ

Maka sesungguhnya engkaulah yang mendapat pertolongan (kemenangan).



ALLAAHUMMA SOLLI 'ALAA MUHAMMAD, WA 'ALAA ALI MUHAMMAD. ALHAMDULILLAAH.


sumber:
http://originaler1982.blogspot.com/2010/09/khotamun-nubuwwah.html

Rabu, 8 September 2010

Adab dan Sunat Hari Raya

بسم الله الرحمن الرحيم
Dalam menyambut kedatangan hari lebaran yang ditunggu-tunggu oleh para muslimin seluruh dunia setelah sebulan berperang melawan hawa nafsu dengan tibanya hari untuk bersyukur dan bergembira dengan segala nikmat Allah yaitu hari raya Idul Fitri. Di sini dituliskan beberapa adab dan perkara yang disunatkan untuk kita lakukan pada hari raya ini.

1. Membersihkan diri sebelum keluar untuk solat hari raya

Antara lain dalilnya ialah sebagaimana berikut :

a. Adalah Ibnu Umar mandi pada hari raya sebelum dia keluar
(riwayat imam Malik dengan sanad yang sohih )
b. Telah sabit bahwa para sahabat bersugi dan memakai bauan pada hari raya.

c. Telah sabit juga bahwa Ibnu Umar mandi dan memakai bauan pada hari raya Eidil Fitri.

d. Sebahagian ulama' menyatakan sunat mencukur bulu dibadan dan memotong kuku kerana ia adalah penyerpurna dalam berhias.

2. Memakai sebaik-baik pakaian

Adalah bagi Rasulullah S.A.W satu jubah yang dipakai pada kedua hari raya.

3. Makan tamar atau seumpamanya sebelum keluar untuk solat hari raya

a. Daripada Anas adalah Rasulullah S.A.W tidak bersarapan pada hari raya eidul fitri sehingga baginda makan tamar dan memakannya secara ganjil pada bilangan.
(riwayat imam Bukhari dan Ahmad)
b. Daripada baridah telah memberitahu bahawa Rasulullah S.A.W tidak keluar pada hari raya eidil fitri sehingga baginda makan dan tidak makan pada hari raya korban sehingga menyembelih binatang korban.
( riwayat imam Ahmad dalam sohih Al-Jami' )

4. Keluar solat hari raya dimasjid dan seumpamanya

Ummu 'Athiyyah memberitahu bahawa Rasulullah S.A.W telah memerintahkan kami supaya keluar pada hari raya eidil fitri dan eidil adha termasuk perempuan yang baru baligh, mereka yang datang haidh dan mereka yang sibuk dengan tugas di rumah. Maka bagi mereka yang datang haidh hendaklah tidak turut sama untuk solat dan mereka menyaksikan kebaikan dan jemputan muslimin. ( Riwayat imam Bukhari dan Muslim)

Setengan ulama' mewajibkan para muslimin untuk keluar ke temapt solat hari raya.

5. Melaungkan takbir pada hari raya

Daripada Ibnu Umar berkata bahawa Nabi S.A.W bertakbir pada hari raya eidil fitri bermula ketika baginda keluar dari rumah sehinggalah sampai di tempat solat hari raya.
( Riwayat Baihaqi dan al-hakim dalam sohih al-Jami' )

6. Melalui jalan yang berlainan ketika pergi dan pulang dari tempat solat hari raya

Adalah Rasulullah S.A.W apabila keluar pada hari raya pada satu jalan, baginda pulang pada jalan yang lain. ( Riwayat imam Bukhari dalam sohih al-Jami' )

7.Mengucapkan tahniah dan ucapan selamat hari raya kepada para muslimin

Adalah para sahabat apabila bertemu pada hari raya, mereka akan mengatakan kepada mereka yang ditemui dengan kalimah yang bermaksud : Semoga Allah menerima segala amalan kami dan kamu.
( Telah diriwayat oleh al-Muhamili dan selainnya dengan sanad yang sohih )

Semoga kita dapat sama-sama menghidupkan amaln sunat yang pernah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W sendiri dan para sahabat. Hidupkan hari raya dengan perkara yang bermanfaat dan jangan kotorkannya dengan pelbagai aktiviti yang berbentuk maksiat. Hari raya kemenangan dalam melawan nafsu dan jangan biarkan nafsu yang mengalahkan kita pula pada hari raya

http://aki2004.wordpress.com/2010/09/08/adab-dan-sunat-hari-raya/

Amalan hidupkan malam - pagi Eidulfitri

بسم الله الرحمن الرحيم
Zaini Hashimi Ramadan yang mulia akan melabuhkan tirainya yang menandakan berakhirnya kemuliaan bulan ini dan disusuli pula dengan kedatangan Hari Raya Aidilfitri, atau menurut bahasa Arabnya ialah ‘Idul Fitri yang bermaksud kembali kepada fitrah.Ini kerana sepanjang sebulan di bulan Ramadan, seseorang itu telah memenuhkan agenda bulan tersebut dengan pelaksanaan amal ibadat yang mampu menjadikannya sebagai hamba Allah yang terbaik seperti membaca dan bertadarus al-Quran, bersolat jamaah sama ada solat-solat fardu dan tarawih, bersedekah, beriktikaf dalam masjid, memberi atau menyediakan juadah berbuka puasa kepada mereka yang berpuasa dan banyak lagi.Seolah-olah amalan yang dilakukan itu menjadikannya bersih serta suci bagaikan anak-anak kecil yang baru dilahirkan oleh ibu-ibu mereka, inilah yang dikatakan kembali kepada fitrah, selagi mana seseorang tidak memelihara fitrah selepas Ramadan, maka tidak mustahil fitrah dirinya terdedah kepada virus yang menjerumuskannya ke dalam lembah kehinaan.

Walau bagaimanapun kejayaan mentarbiahkan diri sebulan pada bulan Ramadan dan berakhir dengan sambutan Aidilfitri, tidak disia-siakan kerana Allah SWT memuliakan mereka dengan hari raya seperti yang diungkapkan-Nya menerusi ayat 185 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadan dan supaya kamu membesarkan Allah dengan Takbir dan Tahmid serta Takdis kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur."

Sesungguhnya umat Islam merayakan hari raya ini dengan penuh kesyukuran dan dengan pelbagai jenis amal bakti yang diredai oleh Allah SWT, di antaranya solat Hari Raya, ziarah menziarahi di antara sesama mereka, bersedekah dan lain-lain lagi.

Kemuliaan Hari Raya

Kemuliaan Hari Aidil Fitri diterangkan oleh Allah di dalam Al-Quran dan oleh Rasulullah di dalam beberapa hadisnya.

Oleh itu umat Islam amat digalakkan untuk menghidupkan malam Hari Raya sama ada Hari Raya Puasa atau Hari Raya Korban.

Sehubungan dengan inilah Allah berfirman di dalam Al Quran menerusi ayat 185 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (hari terakhir Ramadan 30 hari) dan kamu mengagungkan Allah (bertakbir raya) atas petunjuk-Nya yang dianugerahkan kepada kamu agar kamu menjadi orang-orang yang bersyukur."

Kemuliaan Hari Raya juga diterangkan di dalam Hadis seperti sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Daripada Umamah r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda barang siapa mengerjakan amal ibadah pada malam Hari Raya Aidilfitri dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati pada hari kiamat sebagai matinya hati orang-orang yang kafir ingkar pada hari kiamat.

Daripada hadis di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa Hari Raya satu perkara yang disyariatkan dalam Islam dan pada Hari Kiamat kelak orang-orang yang beriman dan beramal soleh hatinya hidup bahagia dan gembira kerana berjaya mendapat balasan yang baik dan keredaan Allah azzawajallah hasil daripada amal-amal kebajikan yang mereka kerjakan di dunia seperti berpuasa di bulan Ramadan.

Sebaliknya orang yang kufur dan ingkar hatinya mati mereka hampa dan kecewa pada hari itu kerana dimurkai oleh Allah dan mereka ditimpa dengan seburuk-buruk balasan.

Terdapat juga hadis-hadis yang lain yang menceritakan tentang menghidupkan malam Hari Raya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tabrani r.a. yang bermaksud:

"Barang siapa menghayati malam Hari Raya Aidil Fitri dan malam Hari Raya Aidil Adha dengan amal ibadah sedang dia mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati seperti hati orang-orang kafir."

Umat Islam digalakkan menyambut Hari Raya Aidil Fitri dengan tahmid sebagai bersyukur kepada Allah bersempena dengan hari yang mulia itu. Ini diterangkan di dalam Al-Quran dan juga di dalam hadis Rasulullah s.a.w.

Firman Allah SWT, maksudnya: Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadhan dan supaya kamu membesarkan Allah dengan Takbir dan Tahmid kerana kamu telah mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur."

Daripada hadis pula sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. maksudnya: Hiasilah Hari Raya kamu dengan Takbir dan Tahmid.

Di dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda daripada Anas r.a. maksudnya: Hiasilah kedua-dua Hari Raya kamu iaitu Hari Raya Puasa dan juga Hari Raya Korban dengan Takbir, Tahmid dan Taqdis.

Ini bermakna, seseorang muslim itu adalah digalakkan agar menghidupkan malam hari raya dengan amalan-amalan yang boleh mendekatkan dirinya kepada Allah bagi menjamin hatinya tidak akan mati pada hari kiamat.

Adalah lebih baik mengemas rumah, menjahit baju yang masih belum siap, menggosok pakaian raya untuk persiapan solat pagi raya bagi membesarkan Allah, menggantung langsir dengan niat mencantikkan rumah, kerana Allah suka kepada yang indah dan cantik, daripada menghabiskan sepanjang malam raya dengan menonton rancangan televisen, apatah lagi rancangan hiburan, filem, seloka Aidilfitri, mendengar lagu raya yang mengasyikkan, kerana tindakan itu sedikit sebanyak boleh menjejas pahala yang kita raih sepanjang bulan Ramadan.

Aktiviti pagi raya

1. Aidilfitri digalakkan bersarapan terlebih dahulu.

2. Mengenakan pakaian raya yang baru (tapi ia bukan satu kemestian) serta berwangi-wangian bagi orang lelaki.

3. Bersegera pergi ke tempat solat, sama ada masjid, surau, dewan terbuka atau di tanah lapang, iaitu dengan melalui jalan lain dari jalan yang dilalui sebelum menunaikan solat.

4. Antara amalan yang patut dilakukan pada Hari Raya Aidilfitri ialah amalan berziarah. Amalan ini adalah bertepatan dengan suruhan agama Islam itu sendiri.

5. Pada pagi Hari Raya, umat Islam yang telah kehilangan saudara-mara akan mengunjungi pusara mereka dan menghadiahkan Surah Al-Fatihah atau bacaan surah Yaasin.

6. Kemudian mereka akan berkunjung ke rumah jiran tetangga, sanak saudara dan rakan taulan.

Ini kerana mereka akan bermaaf-maafan dan melupakan kesilapan yang lampau. Pada asasnya, Hari Raya adalah hari untuk bergembira, bermaaf-maafan, dan hari untuk mengeratkan tali persaudaraan di kalangan umat Islam di samping meraikan kejayaan beribadah kepada Allah.

7. Menceriakan suasana hari raya dengan memberi anak-anak sampul duit raya (sebagai amalan 'idkhal as-surur' iaitu menggembirakan orang lain terutama kanak-kanak.) - mks

http://aki2004.wordpress.com/2010/09/08/amalan-hidupkan-malam-pagi-aidilfitri/

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails