Memaparkan catatan dengan label solat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label solat. Papar semua catatan

Selasa, 12 Februari 2013

Kejayaan Menurut Islam

بسم الله الرحمن الرحيم 

Allah SWT berfirman:
Maksudnya: “Sesungguhnya mendapat kejayaan orang mukmin yang khusyuk dalam sembahyangnya. Dan mereka yang menghindari perkara yang sia-sia. Dan mereka me­nunaikan zakat. Dan mereka yang menjaga kehormatan kecuali kepada isteri mereka dan hamba sahaya milik me­reka, maka mereka itu tidaklah dicela. Dan me­reka yang melakukan sebaliknya, mereka itu adalah melampaui ba­tas. Mereka yang menunaikan amanah dan janji-janji me­reka, mereka yang sentiasa memelihara sembah­yang me­reka, mereka itulah yang mempusakai Syurga Firdaus dan mereka akan kekal di dalamnya.” (Al Muk­minun: 1-11)
Dalam ayat ini Allah memberitahu bahawa orang yang men­dapat kejayaan itu adalah dari kalangan orang mukmin iaitu yang mempusakai Syurga Firdaus. Tuhan tidak sebut orang Islam. Orang Islam tidak dijanjikan kejayaan dan kemenangan. Yang dijanjikan kejayaan dan kemenangan itu adalah orang mukmin. Orang mukmin sahaja yang sanggup melakukan syarat-syarat yang disebutkan dalam ayat tadi. Kemenangan umumnya di du­nia, manakala kejayaan di Akhirat. Terdapat tujuh syarat yang Tuhan tetapkan untuk orang mukmin itu mendapat kejayaan yakni:
1. Khusyuk dalam sembahyang
Antara rasa khusyuk yang dirasai oleh orang yang khusyuk dalam sembahyang itu ialah, rasa kebesaran Tuhan, rasa Tuhan itu hebat, rasa diperhati, didengar dan diketahui oleh Tuhan. Terasa diri hamba, rasa lemah, rasa hina dan rasa rendah diri. Kita terasa meminta bermacam-macam dari Tuhan, mengikut ayat-ayat apa yang dibaca dalam sembahyang itu. Setiap perkara yang diminta itu, ada rasanya yang tertentu. Terasa harap, sedih dan berbagai-bagai perasaan. Perasaan itu berubah-ubah dari satu bacaan ke satu bacaan yang lain. Itulah orang mukmin yang khusyuk dalam sembahyang. Hingga dia tidak sempat membayangkan atau memikirkan perkara lain.
Kalau begitulah yang digambarkan, memang agak sulit. Lebih-lebih lagi bagi orang yang tidak tahu makna bacaan maka lagi susahlah hendak menghayati. Salah satu ciri mukmin yang akan diberi kejayaan di Akhirat ialah khusyuk dalam sembahyang. Kejayaan pula umum. Ia boleh berlaku di sesetengah aspek mengikut taraf khusyuk masing-masing. Mungkin berjaya di bidang ekonomi tetapi tidak berjaya di bidang lain. Bergantung kepada khusyuknya secara umum. Kalau secara umum itu khusyuknya luar biasa, maka banyaklah pertolongan Allah. Kalau kurang khusyuk maka kuranglah bantuan Allah. Rasulullah SAW menyebut bahawa jemaah itu rahmat. Jadi khusyuk secara jemaah tentu tidak sama dengan khusyuk secara individu. Bantuan kepada jemaah tidak sama dengan bantuan kepada individu.
2. Mengelak dari perkara yang tidak memberi faedah
Perkara yang tidak memberi faedah itu ada yang lahir, ada yang batin, ada soal luaran dan ada soal dalaman. Ada yang tersirat dan tersurat. Apa sahaja yang sia-sia mesti dijauhi sama ada yang lahir mahupun yang batin. Di antara perkara lahir yang sia-sia, yang perlu dijauhi adalah:
1. Sia-sia dalam perjuangan yakni perjuangan yang tidak hak.
2. Membangunkan ekonomi yang sia-sia.
3. Membangunkan pendidikan yang sia-sia, yang melahirkan orang yang tidak kenal Tuhan dan rosak akhlaknya. Itu mesti dijauhi.
4. Membangunkan jemaah yang melalaikan.
5. Pergi musafir yang tidak memberi manfaat.
6. Berkawan yang tidak memberi manfaat.
Manakala perkara batin yang sia-sia pula ada dua iaitu:
a. Fikiran kita. Fikiran jangan memikirkan perkara yang tidak memberi manfaat, yang sia-sia, yang tidak merasakan ke­besaran Tuhan dan mendatangkan cinta Tuhan. Atau memi­kirkan benda-benda yang boleh mendorong nafsu. Orang mukmin tidak akan lakukan yang demikian.
b. Perasaan kita. Begitu juga perasaan perlu dijauhi daripada perkara yang melalaikan kita dari Tuhan. Lebih-lebih lagi perasaan yang boleh menjadi dosa seperti rasa hendak marah, berdendam, rasa hasad dengki, rasa-rasa hendak buat jahat, rasa-rasa yang tidak mendatangkan cinta dan takut Tuhan. Itu semua mesti dijauhi. Itu adalah antara perkara yang me­lalaikan, yang bersifat batin. Mana yang tidak disebut, kiaskan sahaja.
3. Mengeluarkan zakat
Erti zakat itu ialah murni, bersih dan suci. Zakat terbahagi dua yakni:
a. Zakat yang lahir
Zakat yang lahir itu kita bahagikan kepada asnaf yang lapan. Tidak perlu disebutkan asnaf itu di sini kerana semua sudah tahu. Sama ada zakat fitrah, zakat harta atau zakat perniagaan. Menga­pa bila kita tunaikan zakat, itu dikatakan pembersihan? Sebab hak yang lapan asnaf itu sudah tidak ada lagi pada harta kita. Tuhan sudah tentukan pada orang kaya itu ada hak lapan asnaf dalam hartanya. Jadi kalau kita keluarkan hak orang lain daripada harta kita, ertinya bersihlah harta kita. Kalau kita tidak keluarkan, ertinya hak asnaf yang lapan itu ada pada harta kita. Kalau kita makan, ertinya makan hak orang. Seolah-olah kita makan harta curi atau harta rasuah. Kalau kita beri anak isteri makan harta itu, lagilah luas kejahatan itu. Sebab itu zakat itu dalam bahasa kita dikatakan pembersihan sebab bila kita ke­luarkan zakat maka kita tidak makan lagi harta yang bukan harta kita.
b. Zakat yang batin
Zakat yang batin itu ialah:
i. Membersihkan akal kita daripada perkara yang haram, yang boleh menjadi syirik, yang boleh membawa ingkar dan mungkar kepada Tuhan.
ii. Membersihkan nafsu kita daripada tamak, dendam dan lain-lain lagi. Bersihkan hati kita daripada mazmumah nafsu. Sebab bila nafsu kotor, ia akan kotorkan hati. Bersihnya hati kita ditentukan oleh nafsu kita. Jadi hati atau roh kita ini di­ten­tukan oleh nafsu kita. Sebab itu tidak dikatakan muja­hadatur roh atau mujahadatul qalbi. Ia dikatakan mujaha­datun nafs iaitu mujahadah untuk membuang mazmumah dari nafsu kita. Bila nafsu kotor, maka jahatlah hati. Bila nafsu tidak terdidik, automatik roh tidak terdidik. Roh kita terco­rak ikut corak nafsu. Maka nafsu perlu dibersihkan dari maz­mumah.
Itu erti zakat yang batin, yang tersirat, yang bersifat rohaniah. Maka syarat ketiga untuk mendapat kemenangan ialah menge­luarkan zakat lahir dan batin. Orang hanya cakap zakat yang lahir sahaja. Yang batin tidak dipeduli. Walhal dalam ajaran Islam, hal yang tersirat itu lebih banyak.
4. Menjaga kehormatan
Kehormatan di sini banyak aspek. Ada yang besar dan ada yang kecil. Yang besar itu ialah peringkat zina. Orang berzina ertinya tidak menjaga kehormatan. Orang liwat, lesbian, termasuk zina dengan tangan, itu dikira tidak menjaga kehormatan. Bagi orang yang gunakan tangan (onani) atau alat-alat tertentu untuk keluar­kan mani, itu semua dosa besar. Kalau ia dilakukan maka dianggap tidak menjaga kehormatan yang besar. Zina, liwat, homoseks, lesbian, itu semuanya sama yakni dosa besar. Bila dilanggar, ia jadi dosa besar.
Ada pula kehormatan yang kecil seperti bergaul bebas, ber­cakap-cakap yang boleh lahirkan nafsu dan berpakaian terdedah. Itu juga dikatakan tidak jaga kehormatan. Mendedahkan aurat itu juga termasuk tidak menjaga kehormatan. Dedah aurat hanya boleh di depan suami isteri. Sesetengah orang dia hanya jaga kehormatan yang besar seperti tidak berzina, tetapi dia banyak langgar yang kecil-kecil. Akhirnya jadi dosa besar juga. Seperti ke pejabat dengan mendedah aurat, kemudian bergaul bebas, kemudian bercakap yang ada kehendak-kehendak nafsu, akhirnya jadi dosa besar. Asalnya tidak menjaga kehormatan yang kecil tetapi bila sudah banyak dan dilakukan setiap hari, ia jadi besar walaupun tidak berzina. Seolah-olah dia sudah berzina.
Jadi kehormatan atau maruah, sama ada yang besar atau kecil hendaklah dijaga. Kehormatan yang kecil, kalau tidak dijaga, ia jadi banyak dan akan jadi dosa besar juga.
5. Menjaga amanah-amanah
Di sini Tuhan menyebut amanah itu dalam kata jamak. Ertinya amanah itu banyak aspek. Amanah itu bersifat global. Jadi ertinya orang mukmin itu menjaga berbagai amanah yang dipikulkan kepadanya. Kalau kita kaji tentang amanah secara umum, amanah itu ada tiga aspek iaitu:
a. Amanah agama Islam
Ini amanah yang utama. Sewaktu di alam roh, sebelum amanah ini di­tawar­kan oleh Tuhan kepada manusia, Tuhan tanya kepada bukit, gunung dan bumi sama ada mahu terima amanah ini yakni ama­nah agama Islam untuk mengatur dunia tetapi semua tidak sang­gup. Setelah itu baru ditawarkan kepada manusia.
Kita sudah lupa tentang ini sebab roh kita sudah masuk dalam sangkar (tu­buh), lantas Tuhan beri nama insan (iaitu pelupa). Tidaklah di­kata­kan roh lagi. Insan itu dari bahasa Arab yang maksudnya pe­lupa. Masuk sahaja roh ke badan, kita terus lupa. Begitulah wa­tak manusia itu. Kalau takdirnya kita masih roh, kita akan ingat tentang amanah ini.
Jadi amanah yang besar sekali ialah amanah agama. Oleh kerana besarnya amanah itu, gunung, langit dan bumi tidak sanggup menerimanya tetapi manusia yang pelupa inilah yang menerima. Langit bukan sahaja menolak bahkan merayu me­mohon perlindungan supaya jangan diberikan amanah ini. Jadi tawaran itu dihalakan kepada manusia. Tanpa fikir panjang, kita pun terima.
Apa kata Tuhan? Tuhan pun berkata, “Dengan amanah inilah Tuhan hendak azab orang munafik lelaki dan perempuan, musy­rikin lelaki dan perempuan. Dan hendak ampunkan orang muk­min lelaki dan perempuan.”
Rupanya bila amanah ini diterima maka dihisablah manusia. Disebabkan amanah ini, manusia menjadi munafik dan kafir. Tuhan tidak sebut yang kafir dulu tetapi disebut munafik dulu sebab munafik sudah jelas lebih berat kejahatannya. Orang Islam sudah faham dan yang punya diri pun faham. Orang Islam yang tidak tunai amanah, itu munafik. Tuhan lebih marah kepada orang munafik yang tidak tunai janji daripada musyrik atau orang kafir. Walaupun ada yang mengaku Islam tetapi kebanyakannya adalah munafik. Tuhan hendak ampun orang mukmin kerana hanya orang mukmin yang patuh.
Amanah yang pertama itu ialah amanah agama Islam yang merupakan suruhan dan larangan. Perintah suruh itu pula ter­bahagi kepada berbagai kategori. Begitu juga perintah larangan. Ada yang haram, makruh, dosa besar, dosa kecil. Perintah suruh pula ada fardhu ain, fardhu kifayah, sunat dan sunat muakad. Itu statusnya. Aspeknya yang utama ada yang berkait dengan ibadah yakni rukun Islam seperti sembahyang dan ada yang berkait dengan aqidah yang bukan setakat dipercayai bahkan mesti diyakini. Ramai yang percaya tetapi tidak yakin. Contohnya Tuhan tidak dijadikan tempat rujuk dalam semua hal. Bimbang hendak tawakal dengan Tuhan. Begitu juga akhlak ataupun ihsan. Ia adalah perintah wajib. Seperti merendah diri, sabar, kasih sayang, pemaaf, tolak ansur, tawakal dan redha.
Begitulah sebaliknya, perkara yang dilarang, yakni disuruh tinggalkan seperti sombong, hasad, riyak dan dengki. Jadi amanah itu ada perintah buat dan ada perintah larang. Ada yang berkait dengan aqidah, Islam dan ihsan. Juga dalam hal-hal rohaniah. Itu semua amanah yang mesti dibuat. Oleh kerana amanah itu besar maka gunung, bukit, laut dan bumi tidak sanggup memi­kulnya. Mereka tidak mahu dan tidak sanggup sebab mereka tahu akibatnya. Tetapi manusia terima dengan penuh sombong.
Jadi agama Islam itu adalah amanah yang terbesar, yang di dalamnya ada aqidah, Islam dan ihsan.
b. Apa yang Tuhan milikkan kepada kita
Apa yang Tuhan milikkan kepada kita merupakan amanah. Ianya ada dua peringkat iaitu:
a. Yang ada dalam diri
b. Yang di luar diri
Setiap milik kita yang ada dalam diri atau di luar diri adalah taraf amanah yang kedua selepas amanah agama Islam tadi. Dengan kata lain seluruh lahir dan batin kita adalah amanah. Tuhan suruh gunakan mata untuk melihat perkara yang Tuhan redha. Tuhan beri kaki supaya kita menghala ke sesuatu yang Tuhan redha. Tuhan beri mulut supaya kita boleh bercakap sesuatu yang Tuhan redha. Jadi semua jawarih yang ada pada kita itu ada­lah amanah yang Tuhan minta kita gunakan ke arah yang Tuhan redha. Siapa yang menggunakannya di jalan yang Tuhan tidak redha, ertinya dia khianat.
Begitu juga dengan nafsu. Kehendak-kehendak nafsu mestilah kita halakan kepada yang Tuhan kehendaki dan yang Tuhan suka. Kalau berlaku sebaliknya, ertinya kita khianat. Demikianlah juga dengan roh. Hendaklah kita berperasaan mengikut yang Tuhan suka. Jika tidak, ertinya kita khianat. Apa yang kita tahu yakni di akal, yang sudah jadi ilmu kita, kalau yang wajib, mesti dilak­sanakan, kalau sunat elok dilaksanakan dan kalau haram, jangan dilaksanakan.
Di luar diri kita juga ada amanah yang Tuhan sudah jadikan milik kita. Di antaranya anak isteri. Mereka mesti dididik seperti mana yang Tuhan redha dan mesti diajak ke arah yang Tuhan suka. Kalau dididik dengan cara yang Tuhan tidak suka, ertinya kita khianat dengan Tuhan. Kebanyakan orang gagal apabila ber­hadapan dengan anak isteri, termasuklah para pejuang Islam. Kita sendiri perlu check kerana kita pun ada yang gagal sebab ka­dang-kadang kita lebih ghairah untuk mendidik orang tetapi apabila berhadapan dengan keluarga, kita cuai.
Anak isteri ada­lah harta kita. Mereka itu adalah amanah. Selain itu, wang, ringgit dan harta kita adalah amanah. Makin banyak harta atau aset kita ertinya makin banyaklah amanah yang hendak ditunaikan. Kalau sedikit sahaja, maka sedikitlah amanah. Sebab itu, walau­pun mencari harta itu dibenarkan tetapi kerana hendak elakkan daripada harta itu menjadi amanah dan tanggungjawab maka di kalangan Sahabat Rasulullah SAW ada yang memilih untuk miskin. Jadi apa juga aset yang ada pada kita, hendaklah dihala­kan kepada keredhaan Tuhan. Kalau tidak, kita akan dianggap khianat.
c. Amanah yang aradhi (mendatang)
Amanah yang dipikulkan kepada kita sama ada oleh negara, ma­syarakat atau jemaah adalah amanah yang aradhi. Ada orang yang jadi presiden, jadi pengarah atau jadi cikgu. Asalnya amanah itu tidak ada tetapi kita yang hendakkan jawatan itu tanpa tahu bahawa itu amanah dan tanggungjawab besar. Itu amanah tam­bahan yang dipertanggungjawabkan. Kalau kita tidak melak­sanakan tanggungjawab ertinya kita khianat.
Rupanya amanah yang perlu dipikul oleh seseorang itu ada tiga aspek. Amanah agama pun tidak mampu hendak kita buat. Tidak cukup dengan itu, kita minta lagi yang lain-lain untuk kita tanggung. Bodohnya manusia sampai boleh jadi munafik kerana tidak menunaikan amanah sedangkan munafik itu lebih jahat dari orang kafir.
Itulah huraian kepada ayat bahawa orang mukmin itu sangat me­nunaikan amanah. Kalau tidak mampu, dia akan minta ampun dari Tuhan. Itulah yang dimaksudkan mereka yang menjaga ama­nah. Orang mukmin boleh melakukannya tetapi tidak bagi orang Islam. Orang Islam sudahlah tidak mampu, tidak pula minta ampun.
6. Menunaikan janji mereka
Janji itu ada dua iaitu:
a. Janji yang kita buat waktu di alam roh. Itu janji besar yang kita hendak tunaikan.
b. Ada pula janji aradhi yang kita buat sendiri. Tidak puas dengan janji yang ada, kita tambah lagi. Kalau kita janji hendak bayar hutang tetapi tidak bayar, itu khianat. Kecuali kalau kita tidak mampu, kita minta halalkan. Kalau berjanji hendak jumpa di suatu tempat tetapi tidak pergi, itu khianat. Janji hendak buat itu dan ini tetapi tidak amanah dengan janji. Itu khianat. Kalau kita sudah buat janji dengan sesiapa pun, kalau tidak dapat tunaikan, mesti jumpa dan minta maaf.
7. Mereka menjaga sembahyang-sembahyang mereka
Sembahyang di sini disebut dalam jamak, bukan satu. Orang muk­min itu ialah orang yang menjaga sembahyang-sembahyang­nya. Ia disebut banyak sebab sembahyang itu di­lakukan banyak kali, selagi hidup. Sebab itu dikatakan sembah­yang-sembahyang dan tidak dikatakan sembahyang sahaja. Itulah yang susah. Orang mukmin sahaja yang mampu menjaga sembahyang setiap kali mendirikannya.
Bagaimana yang dikatakan memelihara sembahyang? Ia melibatkan banyak perkara seperti:
1. Jaga syarat-syaratnya. Kalau tidak jaga syarat maka tidak sah sembahyang. Ertinya tidak sembahyanglah. Tidak payah­lah kita terangkan lagi syaratnya sebab kita sudah belajar fardhu ain.
2. Jaga rukun (rukun di dalam sem­bahyang, di luar sembahyang adalah syarat-syaratnya).
3. Jaga bacaan-bacaan supaya sesuai dengan ilmu tajwid.
4. Faham makna bacaan.
5. Jaga penghayatannya.
6. Jaga waktu sembahyang.
7. Kalau berjemaah, jaga barisan atau safnya.
Yang lebih berat dari itu ialah kena jaga tuntutannya di luar sembahyang. Kalau kita sudah buat ikrar, “Sesungguhnya sembah­yangku, ibadahku, hidup dan matiku adalah kerana Allah,” maka tuntutannya sangat berat hendak dibuat di luar sembahyang. Se­bab itu ada ulama yang kata, “Hendaklah kamu sembahyang setiap masa.” Maksudnya tuntutan sembahyang itu hendaklah diamalkan setiap masa. Kalau boleh setiap tarikan nafas kita mesti sesuai dengan ikrar kita bahawa hidup mati kita untuk Tuhan. Buat apa pun, mesti dalam keadaan ingat dan untuk Tuhan.
Begitulah tuntutan untuk menjaga sembahyang. Kalau tidak dilaksanakan maka kita dianggap tidak menjaga sembahyang.
Jadi kalau tujuh perkara ini berlaku kepada orang mukmin, selain diberi kemenangan di dunia, di hujung ayat diberitahu, akan diberi kejayaan besar di Akhirat yakni diberi Syurga Firdaus yang merupakan Syurga yang paling tinggi. Rasulullah SAW berkata kalau hendak minta Syurga, mintalah Syurga Firdaus. Maka itulah ciri orang yang akan mewarisi Syurga Firdaus, yang mana mereka kekal abadi di dalamnya.
Itulah tafsiran surah Al Mukminun dari ayat 1-11. Setelah dihurai dan ditafsirkan, terlalu banyak ilmu yang ada dalam ayat itu. Kita rasa takut kalau tidak dapat laksanakan. Belum lagi baca ayat lain. Baru ayat dalam surah Al Mukminun, sudah terasa berat. Itulah yang hendak kita faham dan hayati supaya kita benar-benar mendapat kejayaan di Akhirat. Moga-moga bertambah ke­sedaran kita.

Selasa, 13 Disember 2011

Solat jadikan Amanda tenang

بسم الله الرحمن الرحيم
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
Di suatu pagi sebelum matahari menampakkan cahaya yang warnanya keperak-perakkan itu, Amanda Gormley berdiri di ruang tamu rumahnya. Pagi itu, untuk pertama kalinya, perempuan muda ini melaksanakan solat seperti yang dilakukan oleh seluruh kaum Muslimin.
"Saya mengucap dua kalimah syahadat setelah melalui satu perjalanan spiritual yang panjang. Jalan yang membawa saya kepada Islam. Untuk saya menerima agama ini dan menghormati ajarannya," kata Amanda.
Beliau berkongsi kisah, sejujurnya pertama kali mencuba sendiri solat itu, Amanda canggung kerana tidak tahu bagaimana hendak solat dengan betul terutama dalam aspek bacaan.
Lalu cara penyelesaiannya Amanda menggunakan bantuan kad flash mengenai cara-cara bersolat dan bacaannya.
"Saya berdiri ke arah yang saya yakin adalah arah kiblat ke kota Mekah. Lalu saya meletakkan tangan kanan di dada. Sedangkan tangan kiri memegang kad yang mengandungi petunjuk solat dan surah al-Fatihah itu," ujarnya menceritakan pengalaman pertamanya bersolat.
Suku-suku kata (bahasa Arab) dirasakan begitu asing dan aneh menyekat saluran tenggorok Amanda. namun seperti tangisan yang tertahan, beliau tetap berjuang untuk mengucapkan bunyi dari suku-suku kata yang asing itu.
"Tetapi, sejurus mengucapkan bacaan dalam solat itu, saya dapat merasakan seluruh roh saya memasuki sebuah dunia yang ada di luar indera saya, menembusi dimensi ruang dan waktu, dimana tubuh membebaskan jiwa.
"Saya merasakan ketenangan, sebuah pengampunan dan kasih sayang yang begitu menyelubungi diri," katanya.
Dengan cahaya pagi pertama yang masih lembut sinarannya, Amanda rukuk lalu bersujud di lantai sambil menangis dan mengucap Subhana rabbial a'la (Maha Suci Allah Yang Maha Tinggi).
"Saya dapat merasakan juga benda dari sekecil-kecil dan sehalus atom juga turut ikut memuji Allah.

Selasa, 6 Disember 2011

10 Perkara yang wajib kita lakukan setiap hari

بسم الله الرحمن الرحيم
http://www.designzzz.com/wp-content/uploads/2010/03/Sunrise_Tree-600x421.jpg
1- Berzikir kepada Allah SWT ketika bangun daripada tidur.
2- Menutup aurat.
3- Menyempurnakan wuduk.
4- Menunaikan solat tepat pada waktunya.
5- Merasa tenang terhadap janji Allah SWT dalam urusan rezeki.
6- Qanaah ( menerima apa yang ada ).
7-  Tawakkal ( berserah segala urusan kepada Allah SWT ).
8-  Sabar menerima taqdir dan hukum Allah SWT.
9- Bersyukur terhadap nikmat Allah SWT.
10- Makan  yang halal.
Kitab Tanbihul Ghafilin. Jilid 1 & 2. M/S : 901.

Isnin, 28 November 2011

3 Golongan yang Allah SWT berbangga dengan mereka

بسم الله الرحمن الرحيم
1- Mereka yang berada di hutan apabila mendengar azan dan Iqamah lalu  dia solat , maka Allah SWT akan berkata kepadanya " Lihatlah hambaKu solat sendirian tanpa dilihat oleh seseorang ". Maka Allah SWT menurunkan kepadanya 70 ribu Para Malaikat untuk menjadi makmum kepadanya.
2- Mereka yang bangun dimalam hari solat sendirian sehingga dia tertidur dalam sujud. Maka Allah SWT berkata kepada Para Malaikat  " Lihatlah hambaKu rohnya padaKu dan badannya sujud padaKu ".
3- Mereka yang berada di medan perang, maka dia tetap  tegak  berdiri sehingga Syahid.
Kitab Tanbihul Ghafilin. Jilid 1 & 2 . M/S: 841.

Khamis, 10 November 2011

4 Perkara mengundang kekecewaan dalam kehidupan

بسم الله الرحمن الرحيم

http://www.ald3wh.com/bigallery/bcfbe46b3ed7a00c3b05389cdc43a0b5.gif
1- Jika seseorang kencing sambil berdiri.
2- Seseorang yang tergesa-gesa mengusap dahinya sebelum selesai solat.
3- Seseorang yang mendengar azan lalu tidak mengikuti suara muazzin.
4- Seseorang mendengar nama Rasulullah SAW disebut lalu dia tidak  membaca selawat ke atas Rasulullah SAW.
Kitab Tanbihul Ghafilin . Jilid 1 & 2. M/S : 624.

Sabtu, 8 Oktober 2011

5 Golongan yang ditolak amalan Solatnya

بسم الله الرحمن الرحيم

http://peribadirasulullah.files.wordpress.com/2011/10/2943226907_d2f0096eae.jpg?w=560
1- Isteri yang menderhakai suami.
2- Hamba yang lari daripada majikan sehingga kembali bertugas.
3- Orang yang tidak bercakap dengan saudaranya melebihi 3 hari.
4- Orang berterusan minum arak tanpa bertaubat.
5- Imam yang tidak disukai oleh kaumnya atau makmumnya.
Kitab Tanbihul Ghafilin, Jilid 1 & 2. M/S : 422.

Jumaat, 15 April 2011

6 Kebesaran Dan Keagongan Solat Di Sisi Allah SWT

بسم الله الرحمن الرحيم
http://islamguards.com/articles/src1270892097.jpg
1-Tanda Perintah Allah SWT yang mencintai hambanya.
Solat adalah diantara perbuatan malaikat yang Allah jadikan sebagai tugas suci Para Malaikat. Ada diantara malaikat yang Allah SWT perintahkan sujud dan bertasbih kepadaNya sampai hari Kiamat. Sebagai membuktikan Allah SWT ingin memuliakan manusia melebihi malaikat maka Allah SWT perintahkan manusia melakukan amalan suci solat yang difardukan keatas kita sekarang.
2-Talian Suci diantara makhluk dan pencipta.
Dalam solat kita berada dalam keadaan suci rohani dan jasmani, kita berinteraksi dengan Allah SWT tanpa memakai pangkat dan tanpa berlandaskan hawa-nafsu. Hubungan kita adalah hubungan yang Maha Penting, segala urusan dunia yang kita lakukan diluarkan solat kita persembahkan kepada Allah SWT agar dinilai dan dikritik oleh Allah SWT pada hakikatnya, walaupun kita tidak sebut satu-persatu tetapi sebenarnya apa yang ada di dalam hati kita dan apa yang pakai semasa solat sudah cukup memneri nilai kepada kiraan Allah SWT. Oleh itu kekusyukkan solat juga adalah bertolak dari perbuatan dan pekerjaan diluar solat. Jika baik amalan dan pekerjaan diluar solat maka senanglah baginya untuk khusyuk di dalam solat, begitulah disebaliknya.
3-Solat adalah penyejuk hati di Sisi Allah SWT.
Apabila solat yang dipersembahkan kepada Allah SWT sebagai lambang kesucian amalan dan pekerjaan seharian, maka solat tersebut adalah penyejuk hati kepada pandangan Allah SWT yang menembusi tujuk lapis bumi dan langit.
Perbuatan yang penuh beradab dan berakhlak semasa solat serta bacaan yang mengandungi sebutan makhraj yang betul, bacaan yang amat teratur akan dirakamkan oleh Jibrail A.S. dan disimpan di Luh Mahfuz. Solat tersebut mendapat pujian daripada Allah SWT serta para malaikat.
4-Mikraj kepada Allah SWT.
Solat yang kita lakukan dengan penuh sifat kerohanian adalah Mikraj atau Pendakian Roh kita untuk bertemu Allah SWT semasa solat.
Pada saat kita berdiri dan membaca serta melakukan solat sebenarnya Roh kita telah mendaki alam Roh dan berada dihadapan Allah SWT, bayangkan satu hari satu malam lima kali Roh kita berada mengadap Zhat Allah SWT. Apakah kita masih sanggup menipu Allah SWT dicelah-celah waktu tersebut. Maha Suci Allah SWT dalam memfardukan Solat kepada kita semua.
5-Solat Adalah Kunci Khazanah Kepada Segala Kekayaan Allah SWT.
Solat merupakan kunci penggerak kehidupan dan penghubung kepada segala perbuatan dan amalan seharian kita semua. Ramai orang melakukan solat hajat setelah barang milik mereka hilang atau apabila ada hajat seperti untuk menghadapi peperiksaan, memulakan perniagaan. Sebenarnya solat lima fardu adalah kenci penyelesaian kepada segala permasalahan tersebut. Solat Lima Fardu sebenarnya adalah pengukur Allah SWT untuk menerima dan memakbulkan segala permintaan hambaNya. Jika setiap malam dan siang kita memperolehi khazanah milik Allah SWT, pasti jumlahnya setiap bulan dan tahun kita pasti mendapat Bonus Rahmat dan Ihsan Allah SWT.
6-Menepati Kehendak Allah SWT.
Solat adalah satu ibadat yang paling mencukupi prinsip-prinsip penghambaan dan prinsip-prinsip ketuhanan, Allah SWT  adalah pencipta pasti berada di kedudukan yang amat betul dan manusia sebagai seorang hamba juga tidaklah keterlaluan. Qiam, Sujud, Rukuk dan Tahiyat adalah perbuatan yang paling mulia. Jika kita lihat dalam pemujaan lain, Tuhan dijadikan berbagai fahaman dan manusia pula dijadikan hamba yang keterlaluan.  Oleh yang demikian Solat merupakan Ibadat dan Cara penghubung yang paling sesuai dalam beribadat kepada Allah SWT Yang Maha Pencipta.
Rujukan dan Rumusan daripada :
Berdialog dengan Allah SWT, m/s: 32-40.
sumber

Khamis, 27 Januari 2011

Dengar & Lihat Sampai Habis - Solat dan Sains

بسم الله الرحمن الرحيم

Selasa, 29 Jun 2010

Keistimewaan Penghayatan Solat

بسم الله الرحمن الرحيم
Penghayatan solat penglibatan yang menyeluruh zahir dan batin berbanding dengan penghayatan ibadat-ibadat yang lain. Oleh itu , apa juga yang diingati oleh hati, yang difikirkan oleh akal dan diinginkan oleh nafsu semasa penghayatan solat kesemuanya memberi kesan kepada solat itu sendiri sama ada ianya mengesahkan solat / membatalkan atau menyempurnakan nya / merosakkan kesempurnaan nya.

Begitulah juga segala apa yang dilihat, didengar, yang diucapkan dan yang dilakukan oleh anggota semasa penghayatan solat, samalah juga keadaan nya sepertimana yang diatas.

Justeru itu wajiblah dihayati solat dengan mujahadah (pengawasan / penelitian yang bersungguh-sungguh) kearah memastikan penghayatan solat berlaku mengikut sunnahnya yang diatas supaya solat itu diterima Allah.

Hidayah
Hidayah hanya terdapat dalam majlis ilmu
Solat perlu mengikut hidayah
Hidup perlu mengikut hidayah
Mati perlu mengikut hidayah
Hidayah membawa munafaat yang paling besar.

Kiblat Mata
1. Tempat sujud - semasa berdiri, semasa duduk, semasa sujud
2. Diantara dua belakang kaki semasa ruku'
3. Melihat jari telunjuk semasa mengangkat nya ketika menyebut syahadah @ ...illAllah
4. Dua tapak tangan semasa qunut.

Wallahuaqlam.
...catatan Kuliah Maghrib @ Us. Hj. Zulkarnain Ibrahim - 28.6.10

Selasa, 25 Mei 2010

Wajibnya makmum mengetahui sah/batalnya solat imam yg diikuti

بسم الله الرحمن الرحيم

Wajibnya para makmum mengetahui sah/batalnya solat imam yg diikuti oleh mereka itu:

1. Apa juga penghayatan Islam termasuklah bersolat jemaah wajib dengan ilmu (tanpa ilmu tidak sah)


2. Para makmum wajib yakin bahawa solat imam yang diikuti itu sah pada pengetahuan nya


3. Pada umumnya solat imam yang diikuti itu menjadi penentu sah/batalnya solat makmum


4. ‘Imamah’ (pimpinan) imam terhadap makmum dan ‘khudwah’ (ikutan) makmum terhadap imam tidak mutlak/bersyarat, iaitu selagi kedua-duanya mengikut syariat/sunnah rasul


5. Untuk membolehkan para makmum membetulkan solat imam sama ada dengan bertasbih/menggantikan nya/bermufarakah daripadanya apabila berlaku sesuatu yang membatalkan solat imam


6. Para makmum ada kalanya akan menjadi imam sekurang-kurangnya kepada anak isteri/keluarga/mengambil alih tugas imam ketika berlakunya perkara yang membatalkan solat imam yang memerlukan kepada gantian seperti imam yg menanggung najis/auratnya terbuka/ia berhenti ditengah solat dan menentukan penggantinya dari kalangan makmum terutama makmum yang berada dibelakangnya/dan sebagainya.

...catatan dari Kuliah Maghrib 24.5.10 - Us Dzulkarnain

Sabtu, 15 Mei 2010

80% Umat Islam DIMalaysia Tidak Solat

بسم الله الرحمن الرحيم

“Sejumlah 80 peratus umat Islam di Malaysia masih tidak menunaikan solat lima waktu dalam sehari”. Anda mungkin terkejut dengan data ini tetapi itulah hakikatnya. Dalam satu kajian yang telah dilakukan oleh tokoh motivasi terkenal di Malaysia, Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah, bahawa sejumlah 80 peratus umat Islam di Malaysia masih tidak menyempurnakan solat lima waktu dalam sehari.

Peratusan angka ini diperoleh melalui tinjauan beliau menerusi program-program ceramah dan motivasi, yang dijalankan di seluruh negara serta pemerhatian terhadap gaya hidup masa kini.

Menurut Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah antara golongan yang kerap meninggalkan ibadah solat ini ialah golongan para pelajar sekolah, golongan belia, pekerja kilang, anggota pasukan seragam dan juga para peniaga (Utusan Malaysia 2008, 23 Jun).

Menurut kajian itu lagi hanya sekitar 17 hingga 20 peratus yang menunaikan solat fardu cukup lima waktu dalam sehari, sementara bagi pelajar -pelajar sekolah menengah, iaitu hanya 15 peratus sahaja mengakui bersembahyang lima kali sehari. dan fakta ini ternyata menyamai dapatan kajian yang menunjukkan bahawa sejumlah 86.2% responden mengakui kerap meninggalkan solat dan sejumlah kecil responden yang melaksanakan solat dengan secukupnya.

Selain dari itu kadar pelaksanaan yang rendah dalam ibadah solat di kalangan responden dalam kajian ini juga mungkin dapat dikaitkan dengan tahap pengetahuan dan kemahiran responden dalam menunaikan ibadat tersebut. Apakah faktor yang menyebabkan jumlah besar responden tidak menunaikan solat dalam kehidupan mereka? Persoalan ini mungkin tidak dapat diselesaikan dengan menjaga fakta-fakta atau cara melaksanakan solat. Sesungguhnya ia melibatkan banyak faktor lain termasuk motivasi pelaksanaan solat dan ibadat. Menurut al-Kumayi (2009) terdapat tiga halangan dalam melaksanakan ibadah iaitu:

  • Malas (kasal) mengerjakan ibadat kepada Allah, sedang setiap insan sanggup dan berupaya melakukan ibadah.
  • Lemah fikiran (futur) atau tidak memiliki tekad yang kuat kerana terpengaruh dengan kehidupan dunia.
  • Bosan (malal) atau cepat berasa bosan melakukan ibadah sedangkan tujuan belum tercapai.

Sesungguhnya amalan atau perbuatan meninggalkan solat ini merupakan masalah yang serius atau cukup barat, kerana baik buruknya perlakuan seseorang itu sangat dipengaruhi oleh solatnya. Jika ibadah solatnya baik, dilakukan dengan peluh kesempurnaan yang merangkumi aspek rukun, syarat dan penuh khusyuk ia akan dapat mencegah seseorang dari perbuatan keji dan mungkar. Aspek ini menjadi jawapan kepada pelbagai masalah yang timbul dalam organisasi atau pun yang melakukan tindakan-tindakan yang bertentangan dengan syarak.

Sumber: News @ Feryco
http://aki2004.wordpress.com

Selasa, 23 Mac 2010

Saf dan Solat





Terjemahan Hadith :

"Tidak ada langkahan kaki yang paling besar pahalanya bagi seseorang muslim itu dalam hidupnya selain daripada langkahan kaki untuk memenuhkan saf (terutama saf dihadapan nya/saf dikiri/kanan nya)"

Pengajaran hadith:

1. Saf perkara paling utama dan terpenting didalam solat jemaah

2. Pahala saf amatlah besar melebihi seluruh kerja solat jemaah yang lain

3. Saf penghubung 3 hala hubungan diantara

a. Imam dengan makmum
b. Makmum dengan imam
c. Makmum dengan makmum yang lain

4. Syarat saf 3 perkara

a. Lurus
b. Rapat
c. Penuh

5. Melurus, merapat dan memenuhkan saf bukan sahaja perlu dilakukan sebelum bersolat malah perlu dilakukan semasa didalam solat apabila salah satu daripada syarat-syarat saf diatas rosak.

6. Mengabaikan kesempurnaan saf merosakkan/ menghapuskan pahala solat jemaah

7. Pada permulaan solat para makmum dikehendaki berebut-rebut bersegera untuk menyempurnakan saf sebelum imam bertakbirratulihram

8. Imam pula hendaklah memberi peluang kepada makmum menyempurnakan saf terlebih dahulu sebelum imam bertakbir sambil memberi peringatan kepada mereka untuk berbuat demikian.

# lembut-lembutkanlah badan kamu bila kawan kamu membetulkan kamu dalam saf
# kena bersentuh-sentuh dalam solat (untuk mendapat keberkatan)
# lurus melambangkan hati kita tidak khianat
# rapat melambangkan kemesraan, kasih sayang
# membetulkan saf adalah sebahagian kerja solat jemaah
# PRINSIP : SATU UNTUK SEMUA DAN SEMUA UNTUK SATU

Tidak ada berlaku dizaman Nabi SAW dimana orang yang datang kemesjid dengan angkatan kemegahan nya (eg: bawa sejadah sendiri, lepas itu tak bagi berkongsi dengan orang lain)
Solat - meleburkan ego kita (sujud dihadapn kaki orang2 saf depan)

# memenuhkan saf merupakan satu tawaran Allah untuk diri kita (merebut saf depan)

Semuanya kembali kepada Ilmu:
- jika ilmu hanya ada dikepala/pemikiran, tapi kepercayaan nya kurang, ilmu tak sampai kepada iman, ilmu begini tak jadi apa-apa.
- Ilmu merupakan pengetahuan, Iman merupakan penghayatan, penghidup ilmu.

Wallahua'qlam

...maghrib@Us Zulkarnain 22.3.10

Selasa, 19 Januari 2010

Amanah

Salam,

Salah satu perkara yang sangat-sangat dituntut dalam Islam ialah amanah. Perkataan amanah diulang sebanyak 23 kali dalam 20 ayat Al-Quran seperti yang dipaparkan dalam carian melalui web :
http://www.searchtruth.com
Salah satu daripanya seperti berikut :

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)".
( سورة الأنفال , Al-Anfal, Chapter #8, Verse #27)


Dari catatan yang pernah ditulis dalam satu kuliah agama, ada tiga kategori amanah :


1. Amanah hamba kepada Allah : dengan melaksanakan perintah Nya dan meninggalkan apa yang dilarang Nya

2. Amanah sesama hamba :
# Nasihat kepada pemimpin, ulama, orang awam
# Segala pertaruhan

# Simpan rahsia
# Mendidik isteri dan anak

3. Amanah terhadap diri sendiri :
3.1. Menuntut Ilmu
3.2. Mencari rezeki halal
3.3. Jangan ikuti hawa nafsu
3.4. Pilih jalan yang boleh bawa bahagia dunia dan akhirat

Amat besar dan amat berat tuntutan amanah ini, tapi kadang-kadang kita lupa melaksanakan nya secara total. Satu contoh kecil : penggunaan masa yang diperuntukkan kepada kita untuk melaksanakan tugas harian dipejabat contohnya, adakah kita beri seratus peratus peruntukan masa itu kepada kerja ? atau masa untuk hal-hal lain yang tak berkaitan dengan kerja lebih dari masa kerja, atau dengan istilah mudah - mencuri masa !!

Tidakkah ada kaitan nya perkara ini dengan mencari rezeki yang halal ?

Sama-samalah kita renungkan.

Selalu kita dengar bahawa solat itu boleh mencegah kemungkaran, tapi sebenarnya bagaimana solat kita selama ini? Mari kita sama-sama perbetulkan.

Diatas kepekaan mengenai menuntut ilmu atau mencari ilmu bagi meningkatkan kualiti ibadah kita, berikut ini dimaklumkan satu link terbitan 'Sholat Khusuq Itu Mudah', semoga boleh diambil perhatian kerana nilainya sangat tinggi.


Disini

atau main page :
http://www.shalatcenter.com/
Wallahuaqlam.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails