Darjat Amal
Amal itu bermacam-macam darjat dan tingkatnya, tergantung pada niat orang yang mengerjakannya.
Yahya bin Syarifuddin an- Nawawi membahagi amal yang baik kepada tiga macam, yaitu:
(1) Amal budak: Yaitu, beramal kerana takut kepada Allah.
(2) Amal saudagar: Yakni, beramal kerana mengharapkan pahala dan supaya kelak masuk ke dalam syurga.
(3) Amal manusia yang merdeka: Yaitu, beramal sebagai bukti dan bakti kesyukuran kepada Allah; beramal merasa sebagai satu kewajipan.
Selain dari itu, ada pula amal yang dipasang dengan niat yang campur-aduk. Contohnya, ialah seumpama orang-oratig yang pergi menunaikan ibadah Haji ke Mekkah, bukan kerana beribadah semata-mata, tapi juga kerana tujuan dagang. Yaitu, di waktu akan pulang dapat membawa sekian kilo emas, sekian dozen jamtangan "Rolex" dan lain-lain sebagainya. Atau seperti orang yang menuntut ilmu bukan kerana melaksanakan perintah Ilahi semata-mata, tapi di samping itu digabungkan pula dengan tujuan supaya diangkat dan disanjung orang sebagai sarjana, dan supaya kelak dapat berkuasa dan lain-lain.
Dilihat dari sudut hukum Syari'iyah, ibadah Haji seperti yang diterangkan di atas, hukumnya sah juga, tapi kurang kemurniannya, kurang afdhalnya. Demikian juga tentang orang yang menuntut ilmu itu.
Adapun ibadah atau amal yang bercampur-gaul antara niat yang ikhlas dengan ria, masih banyak contoh-contohnya, di antaranya:
(a) Mengerjakan ibadah puasa bukan kerana melaksanakan kewajipan semata-mata, tapi bercampur dengan tujuan menjimatkan belanja hidup sehari-hari, mengurangi makan agar badan kurus, atau kerana malas memasak nasi dan lain-lain.
(b) Mengerjakan sembahyang tahajjud di tengah malam bukan semata-mata kerana melaksanakan sunat-nafilah yang dianjurkan oleh Tuhan, tapi bercampur dengan niat yang lain, umpamanya kerana perlu berjaga-jaga sebab rumahnya senan- tiasa diintai pencuri.
(c) Memberikan sedekah kepada orang yang datang meminta-minta ke rumahnya bukan kerana hendak beramal, tapi bercampur dengan niat supaya peminta-peminta itu segera berlalu dari pekarangan rumahnya.
Sesuatu amal atau perbuatan-kebajikan tidaklah dinilai dari jumlah dan banyaknya, tapi dari keikhlasan niat dalam mengerjakannya. Dalam hubungan ini, Rasulullah pernah mengatakan kepada Mu'az bin Jabal: "Berlaku ikhlaslah dalam beramal. sebab amal yang dilakukan dengan ikhlas itu akan memadai (mencukupi) bagimu, walaupun hanya sedikit”
sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan