Memaparkan catatan dengan label remaja. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label remaja. Papar semua catatan

Jumaat, 18 Februari 2011

Remaja dan jiwa istiqamah

بسم الله الرحمن الرحيم
Oleh NURUL IZZAH SIDEK
Istiqamah para remaja adalah dituntut untuk memperkasa akal budi remaja dengan ilmu yang Islami dan bermanfaat. -Gambar hiasan



ISTIQAMAH bermaksud teguh hati, dan melakukan sesuatu secara berterusan. Jiwa istiqamah berdiri atas prinsip yang teguh, akhlak yang baik, dan ada kekebalan menghadapi cabaran.
Para remaja memerlukan jiwa istiqamah yang tinggi pada masa kini bagi menghadapi pelbagai cabaran. Cabaran remaja Islam masa kini tidak memadai hanya dengan belajar ilmu fardu ain semata-mata.
Cabaran kini dan masa depan banyak yang bersifat pemikiran, intelektual, ideologi, sains dan teknologi. Sebagai remaja proses pengilmuan mestilah baik dan sempurna supaya jiwa istiqamah dapat dibina.
Membangun jiwa istiqamah di kalangan remaja memerlukan dukungan ilmu. Ilmu dalam Islam umpamanya, ibarat cahaya. Ia memimpin jalur berfikir dan arah tindakan yang baik. Ilmu-ilmu Islam tidak sekadar menghubungkan remaja dengan potensi berfikir tetapi juga mendidik remaja memahami perkara-perkara yang ghaib. Para remaja harus dibina kekuatan fikir dan juga zikir, dalam erti kata yang luas.
Berfikir secara Islamik tidak sahaja melihat seusatu itu diciptakan tetapi secara zikirnya remaja Islam perlu tahu hikmah di sebalik wujudnya sesuatu. Daripada situ fikir dan zikir berkembang.
Fikir lebih banyak memberi fokus kepada benda-benda yang tampak yang boleh dihujah dengan akal dan dirasakan oleh pancaindera. Tetapi hal-hal yang ghaib terhubung dengan keyakinan kita kepada Allah dan al-Quran menjadi sumber memberikan sedikit rahsia di sebalik kewujudan sesuatu.
Ayat-ayat al-Quran tidak sahaja bersifat harfiah atau kalimah-kalimah, tetapi maksud Ayatullah itu menghubungkan wahyu dengan kehidupan. Contohnya bila al-Quran menyebutkan autad iaitu pasak-pasak bumi terhadap gunung-ganang, ia memberi kita hikmah bahawa pada bumi itu ada titik keseimbangan yang terkait dengan gunung ganang. Hikmahnya, supaya manusia juga memiliki titik keseimbangan.
Kedua, al-Quran menyebutkan Allah menjadikan alam ini pada kadarnya. Gelombang di lautan beralun dengan hebatnya tetapi apabila sampai ke pantai ia berpatah semula. Itu berlaku berulang-ulang dan menunjukkan bahawa air laut batasannya ialah pantai.
Ia tidak melampaui daratan kecuali berlaku tsunami. Ia memberi hikmah kepada manusia bahawa apa pun perbuatan kita, kehendak kita, keinginan kita dan kemampuan kita tetap ada batasnya. Allah mengingatkan manusia supaya kita jangan melampaui batas.
Para remaja mempunyai potensi sebagai kelompok peniru dan mudah dengan unsur-unsur negatif dari sumber yang pelbagai. Ketiadaan ilmu yang memberi tunjangan kepada akal budinya telah menyebabkan para remaja mudah cair dengan pengaruh di luar dirinya dan mudah mengagumi dengan hal-hal yang bersifat popular. Remaja sebahagiannya memiliki sifat dan tabiat yang berubah-ubah. Ini membayangkan jiwa yang tidak istiqamah.
Jiwa istiqamah juga harus dididik dan dilatih dengan nilai-nilai agama yang membentuk watak-watak manusiawi. Watak ini penting bagi remaja kerana di tahap inilah proses pembentukan jati diri seharusnya berlaku.
Dewasa ini antara faktor yang menyebabkan remaja mudah terpengaruh dan cair dengan pengaruh popular, sama ada gaya hidup, cara berpakaian, corak hiburan, jenis lagu dan muzik, adalah gambaran sesuatu yang diambil daripada orang, bukan berasaskan budaya dan tradisi sendiri.

Ahad, 15 Ogos 2010

Bimbang - punca remaja bermasalah


بسم الله الرحمن الرحيم

Oleh DR. KHAIDZIR ISMAIL

PERINGKAT remaja yang tidak stabil sedang dalam proses pencarian identiti dengan ketidakmatangan kognitif dan perubahan hormonnya terpaksa dilalui mereka dan terlalu berat untuk dipikul. Malah pada waktu yang sama, harapan ibu bapa dan guru- guru akan lebih memberi tekanan perasaan kepada golongan ini.

Dalam situasi sebegini, ia akan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan remaja dan sekiranya kebimbangan ini berterusan, ia akan menjadi serius dan akan membawa kepada masalah psikologi yang lebih besar.

Konsep

Kebimbangan boleh dipecahkan kepada tiga elemen:

- Kognitif : sebagai contohnya kerisauan atau sentiasa berfikir takut, memikirkan masa depan seperti kerjaya, pasangan hidup dan mengaitkan dengan perkembangan fizikal dan sosial.

- Fisiologikal : naik denyutan jantung dan nadi, berpeluh, tekanan darah meningkat dan hiperventilasi (pernafasan yang lagu dan berlebihan)

- Tingkah laku: mengelak daripada berjumpa dan bersua dengan orang, tempat yang terbuka seperti tempat awam dan situasi sosial.

Jenis-jenis

Antara jenis kebimbangan yang kerap dihadapi dan sekiranya berlarutan boleh membantutkan perkembangan yang sihat:

Kebimbangan yang tiada arah dan haluan - tidak bergantung mana-mana situasi, kejadian atau pun perkara, semua yang difikirkan akan membuat perkara itu walaupun kecil tapi bermasalah

- Kebimbangan yang spesifik - mana-mana situasi atau kejadian atau perkara yang spesifik yang membuatkan remaja merasa bimbang seperti peperiksaan, jerawat, imej badan, ketinggian, warna kulit atau keturunan.

- Kebimbangan yang datangnya daripada ketakutan akan terjebak dalam bahaya atau masalah. Remaja tidak berani mengambil bahagian dalam aktiviti kerana takut akan membawa padah seperti aktiviti lasak atau keluar dengan rakan-rakan.

Kebimbangan berlakunya perpisahan seperti ibu bapa yang bergaduh akan membawa kepada penceraian, kematian atau kemiskinan yang boleh membawa kepada pengambilalihan tanggungjawab atau melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh berpisah dengan keluarga

- Fobik iaitu sejenis ketakutan yang terlampau seperti takut kepada sesetengah benda, tempat, situasi atau kejadian. Antaranya ialah takut dan geli terhadap binatang (cacing, katak, kucing), situasi sosial (perhimpunan hari raya, pasar malam) tempat awam (stesen bas, lif) penyakit atau kematian.

Serangan panik (panic attacks) merupakan salah satu perasaan yang kuat yang menyumbang kepada kebimbangan seperti:

- Perasaan yang keterlaluan untuk melepaskan dari satu situasi atau tempat

- Ketakutan akan terperangkap atau lemas seperti berada dalam lif atau kolam renang

- Reaksi fisiologikal seperti berpeluh yang keterlaluan seperti menduduki peperiksaan dalam dewan, pernafasan yang kencang semasa menghadiri temuduga

Mempunyai perasaan ketidakhadiran dirinya yang sebenar atau belongingness atau kehadirannya tidak diperlukan dalam keluarga, rakan-rakan kelompok atau dalam dunia ini

- Terlalu berjaga-jaga dan berhati-hati agar tidak melakukan kesilapan yang 'bodoh' depan khalayak ramai atau depan rakan-rakan.

Fungsi dalaman

- Biologikal - bersedia untuk bertingkah laku sama ada melawan atas kebimbangan itu atau membiarkan atau jauhinya (fight or flight)

-Pembelajaran - melalui pengalaman dan perasaan yang dilalui dengan kebimbangan ini remaja akan lebih berfokus, lebih konsentrasinya, meningkat daya tahan lebih resilien tetapi sekadar kebimbangan yang tidak melampau atau kritikal.

Punca

Faktor Luaran - putus hubungan dengan orang yang sangat dikasihi, gagal dalam peperiksaan atau percintaan, kesempitan kewangan, takut berada dalam situasi sosial dan awam.

Faktor Dalam - mempunyai kepercayaan yang karut atau tidak rasional mengenai imej badan fizikal, dan kesihatan psikologikal, kurang kemahiran sosial atau kemahiran generik dalam menyelesaikan kehidupan harian yang mudah, pengalaman lepas yang masih trauma dan merasakan tahap penerimaan dalam tidak dapat dikawal lagi, semuanya buntu tiada jalan penyelesaian.

Kebimbangan yang serius mungkin boleh merujuk kepada Ahli Psikatris, Psikologis atau Kaunselor untuk memperoleh;

- Teknik Relaksasi/Solat

- Latihan Asertif

- Modeling (Role Play)

- Perubahan Mind set dan sikap

- Disensitiviti

Sekiranya remaja ini tidak dibantu awal, ia mampu membawa padah lebih buruk. Kemungkinan lari dari rumah, bunuh diri, tidak bergaul langsung dengan orang, tidak maju dalam pelajaran, mengambil bahan-bahan terlarang seperti dadah, pil dan alkohol.

Remaja juga perlu didekatkan dan didedahkan bukan secara lahiriah saja tetapi zahirnya (internalization) dengan agama dan mengisi kekosongan jiwa dengan kaedah Islam, kerana pendekatan ilmu psikologi walaupun berkesan tetapi ia bersifat sementara. Justeru, pengisian al-Quran dan Sunnah insya-Allah dapat mengekalkan kesejahteraan insan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails