بسم الله الرحمن الرحيم
USAID bin Malik bin Rabiah ialah salah seorang sahabat Nabi Muhammad dan seorang pahlawan Islam yang berani. Usaid sering menyertai angkatan perang Islam bagi mengalahkan musuh. Salah satu sifat Usaid yang mengkagumkan ialah beliau suka menghadiri majlis ilmu.
Setiap kali ada majlis ilmu yang disampaikan oleh Nabi Muhammad, Usaid ada di sana. Usaid suka menimba ilmu-ilmu yang baru.
Beliau memang suka mendengar ilmu yang diajarkan dan disampaikan oleh Nabi Muhammad. Setiap ilmu agama dan nasihat yang diperolehnya itu diambil perhatian.
Pada suatu hari, ada majlis ilmu yang disampai oleh Nabi Muhammad.
"Nampaknya hari ini ada ilmu agama yang disampaikan oleh Nabi Muhammad," kata Usaid seorang diri.
Usaid tidak mahu melepaskan peluang itu. Beliau menghadiri majlis ilmu itu. Sampai sahaja di dalam majlis tersebut, beliau duduk mendengar segala yang disampaikan oleh Nabi Muhammad dengan penuh perhatian.
Ramai turut hadir dalam majlis itu. Sedang asyik beliau mendengar, tiba-tiba datang seorang lelaki dari golongan Bani Salmah duduk dalam majlis tersebut.
Semasa majlis itu berlangsung, sesi soal jawab dibuka di antara Nabi Muhammad dan orang yang berada di sana.
"Ada soalan yang mahu ditanya oleh anda semua," tanya Nabi Muhammad kepada para hadirin.
Lelaki dari golongan Bani Salmah itu pun mengangkat tangannya dan bertanya kepada Nabi Muhammad.
"Wahai Nabi Muhammad, ibu bapa saya sudah meninggal dunia. Masih bolehkah saya berbuat baik kepada kedua ibu bapa saya selepas mereka meninggal dunia," tanya lelaki itu.
"Semasa mereka masih hidup, saya orang yang selalu menjaga dan taat kepada mereka," katanya lagi.
Rupa-rupanya, para hadirin yang lain juga mempunyai kemusykilan yang sama dengan lelaki Bani Salmah itu.
Usaid bin Malik tidak sabar-sabar menantikan jawapan yang bakal diberikan oleh Nabi Muhammad.
Keadaan menjadi senyap dan sunyi. Sebentar kemudian, Nabi Muhammad menjawab: "Kamu masih dapat berbuat baik kepada kedua ibu bapa.
"Caranya begini. Kamu harus selalu mendoakan mereka, meminta ampun kepada Allah dan melaksanakan wasiat yang mereka tinggalkan selepas meninggal dunia."
Para hadirin yang mendengar penjelasan itu mengangguk-angguk kepala mereka.
Kemudian Nabi Muhammad berkata lagi: "Kamu juga perlu menjaga tali persaudaraan dengan kawan-kawan ibu bapa dan memuliakan kawan-kawan mereka itu."
Para hadirin yang mendengar jawapan Nabi Muhammad faham dengan jawapan yang diberikan.
Kemudian lelaki daripada golongan Bani Salmah itu teringat pesanan Nabi Muhammad, iaitu; "Apabila meninggal seorang anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara. Pertama, sedekah yang diberinya semasa beliau hidup. Kedua, ilmu yang disampaikannya kepada orang lain. Akhir sekali yang ketiga, ialah anak yang baik dan selalu mendoakan ibu bapa mereka."
"Mulai saat ini, saya sentiasa berdoa kepada Allah dan berbuat baik dalam hidup, supaya saya dapat berbuat baik kepada kedua ibu bapa saya yang sudah meninggal dunia," bisik lelaki itu sendirian.
Lelaki itu berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Nabi Muhammad. Kemudian, beliau beredar dari majlis ilmu itu. Beliau berazam berbuat baik kepada kedua ibu bapanya yang sudah meninggal dunia selagi beliau masih hidup.
Usaid juga turut gembira mendapat penjelasan daripada Nabi Muhammad pada hari itu. Bagi Usaid, beliau juga berazam menjadi seorang anak yang taat dan berbuat baik kepada ibu bapanya.
Pada hari itu, Usaid mendapat ilmu baru mengenai berbuat baik kepada ibu bapa yang sudah meninggal dunia. Beliau gembira kerana ilmunya semakin bertambah
...sumber:
http://aki2004.wordpress.com/2010/08/02/usaid-bin-malik-suka-hadiri-majlis-ilmu/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan