PADA zaman Rasulullah SAW, hidup seorang lelaki bernama Amir bin Jamuh. Kakinya tempang, namun Amir bertekad untuk ikut bertempur dalam Perang Uhud.
Beberapa sahabat menghalangnya kerana menganggap Amir tidak sesuai memandangkan dia tempang, namun Amir yang disokong oleh isterinya tetap bertekad untuk berbuat demikian demi membela agama Allah.
"Aku tidak percaya mereka telah melarangmu untuk ikut dalam pertempuran itu," kata isteri Amir.
Mendengar kata-kata itu, Amir menghunus pedang dan berdoa, "Ya, Allah, janganlah Engkau kembalikan aku kepada keluargaku".
Amir kemudiannya menemui Rasulullah SAW dan menyakinkan baginda untuk membenarkannya menyertai tentera muslimin.
Rasulullah SAW meminta Amir agar tidak ikut berperang. Namun, Amir terus mendesak dan akhirnya Rasulullah pun mengizinkannya.
Di medan pertempuran, Amir berteriak, "Demi Allah, aku ini sangat mencintai syurga".
Amir akhirnya gugur syahid di medan pertempuran. Setelah mendengar berita kematian suaminya, isteri Amir segera membawa seekor unta untuk membawa pulang jenazahnya.
Ketika jenazah Amir diletakkan di atas unta, haiwan itu tidak mahu berdiri. Pelbagai usaha dilakukan olehnya namun unta itu tetap tidak mahu berjalan, sebaliknya asyik memandang Uhud.
Ketika Rasulullah SAW mengetahui berita itu, baginda bersabda, "Sesungguhnya, unta itu telah diperintahkan untuk berlaku demikian. Adakah Amir berkata sesuatu semasa dia mahu meninggalkan rumahnya?"
Isterinya memberitahu sebelum meninggalkan rumah untuk bertempur di medan perang, Amir mengadap kiblat sambil berdoa, "Ya, Allah, janganlah Engkau kembalikan aku kepada keluargaku". Itulah sebabnya, kata Rasulullah, unta itu tidak mahu pulang.
Kisah yang tercantum dalam kitab Himpunan Fadilah Amal karya Maulana Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi itu menggambarkan keberanian dan kepahlawanan orang yang berjuang di jalan Allah. Mereka hanya berharap menjadi pahlawan yang gugur syahid di sisi-Nya.
Dalam surah ali-'Imran ayat 169-170, disebutkan bahawa orang yang gugur di jalan Allah sebenarnya tidak mati, tetapi hidup di sisi Allah SWT.
Mereka yang gugur di jalan Allah SWT benar-benar hidup di alam lain, ini berbeza dengan alam kita.
Di alam sana, mereka juga mendapat rezeki daripada Allah yang sesuai dengan kehidupan alam barzakh. Maka itu, mereka bergembira kerana berada dalam kehidupan yang sebenarnya di sisi Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan