Selasa, 28 Februari 2012

Kehebatan ilmu, keberanian Abdullah ibnu Ummi Maktum

بسم الله الرحمن الرحيم

SIAPA tidak kenal dengan seorang sahabat yang sangat berani walaupun tidak boleh melihat? Beliau digelar Ibnu Ummi Maktum atau nama sebenarnya Abdullah bin Qais bin Zaidah bin Al-Asham.
Beliau anak daripada seorang ibu bernama ‘Atikah yang biasa dipanggil Ummi Maktum. Abdullah ibnu Ummi Maktum termasuk salah seorang yang mula memeluk Islam.
Beliau juga antara tujuh orang yang berani menampakkan ke Islamannya di Makkah.
Beliau merasakan ajaran Islam menjadikan hatinya bersih, walaupun matanya tidak dapat melihat.
Itu adalah nikmat besar yang dikurniakan Allah kepadanya. Abdullah ibnu Ummi Maktum memiliki ilmu dan adab istimewa yang dianugerahkan Allah kepadanya, menggantikan kebutaan matanya sebagai cahaya dalam pandangan dan pancaran hati.
Beliau memang tidak dapat melihat, tetapi dapat melihat menggunakan mata hatinya. Hatinya dapat mengetahui apa yang tersembunyi.
Beliau berhijrah ke Madinah pada pasca perang Badar dan menjadi muazzin kedua Rasulullah s.a.w selepas Bilal bin Rabah.
Rasulullah menunjuk Abdullah ibnu Ummi Maktum sebagai penggantinya untuk mengimamkan solat umat Islam di Madinah ketika Rasulullah pergi ke medan perang.
Ibnu Ummi Maktum seorang sahabat Rasulullah yang mendapat teguran daripada Allah s.w.t. Satu hari beliau mendatangi Rasulullah untuk mempelajari al-Quran.
Ketika itu, Rasulullah sedang berbicara dengan tiga orang Quraisy, mengajak mereka memeluk Islam. Lalu Rasulullah berpaling muka terhadap Ibnu Ummi Maktum.
Kemudian turunlah firman Allah yang bermaksud: "Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling. Kerana Telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali dia ingin membersihkan dirinya (daripada dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manfaat kepadanya? Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup. Maka kamu melayaninya. Padahal tidak ada (celaan) atasmu kalau dia tidak membersihkan diri (beriman). Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran). Sedang ia takut kepada (Allah). Maka kamu mengabaikannya." (Surah Al-a’la ayat 1-10).
Walaupun buta, Ibnu Ummi Maktum memiliki naluri yang sangat peka untuk mengetahui waktu. Setiap menjelang fajar, dengan perasaan jiwa yang segar dia keluar dari rumahnya, dengan bergantung pada tongkatnya atau lengan salah seorang Muslimin untuk mengumandangkan azan di masjid.
Beliau berganti-ganti azan dengan Bilal bin Rabah. Apabila Bilal mengambil giliran menjadi tukang azan, maka Abdullah ibnu Ummi Maktum yang iqamah.
Pada waktu fajar Bilal mengumandangkan azan untuk mengejutkan kaum Muslimin di sepertiga malamnya.
Sedangkan Abdullah ibnu Ummi Maktum mengumandangkan azan pada waktu Subuh.
Oleh kerana itu, Rasulullah menetapkan azan Abdullah ibnu Ummi Maktum sebagai sandaran habisnya waktu sahur.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Makan dan minumlah kalian hingga Ibnu Ummi Maktum mengumandangkan azan..."
Abdullah ibnu Ummi Maktum adalah orang yang sangat mulia kerana dua wahyu yang diturunkan Allah berkaitan dengan beliau.
Yang pertama adalah teguran terhadap Rasulullah yang ada dalam surat ‘Abasa dan yang kedua mengenai ketentuan berperang bagi orang yang mampu dan berhalangan dalam berperang.
Beliau memiliki hasrat yang besar untuk ikut berperang di jalan Allah walaupun matanya buta. Imam bukhari mengatakan dalam tafsir Ibnu Katsir juz 5 ketika turun firman Allah surat An-Nisaa’ ayat 95 yang bermaksud: "Tidaklah sama antara orang yang beriman yang duduk (tidak ikut berperang)...".
Rasulullah memanggil Zaid bin Tsabit untuk menulisnya. Kemudian datanglah Ibnu Ummi Maktum yang mengadukan mengenai keadaan dirinya yang tidak dapat melihat.
Kemudian turun firman Allah yang bermaksud: "Kecuali yang mempunyai uzur..."
Walaupun ayat itu sudah diturunkan, beliau masih tetap memiliki hasrat yang tinggi untuk syahid di jalan Allah.
Akhirnya Allah mendengar doa beliau untuk berjihad dan menjadi orang buta pertama mengikuti perang dalam sejarah Islam iaitu perang Al-Qadisiyah.
Ketika itu beliau membawa panji berwarna hitam sambil mengenakan perisai dan maju ke medan perang.
Abdullah ibnu Ummi Maktum adalah orang yang taat beribadah.
Buktinya, beliau tetap mentaati perintah Allah dan Rasulullah untuk solat berjemaah di masjid walaupun beliau tidak boleh melihat.
Berbeza dengan Muslim hari ini, walaupun diberi penglihatan yang sempurna oleh Allah namun mereka tidak pernah solat berjemaah di masjid.
Bukan saja tidak solat berjemaah di masjid, malah ada yang meninggalkan solat fardu. Kisah Ibnu Ummi Maktum memberi banyak pelajaran berharga kepada kita.
Beliau selalu bersyukur kepada Allah walaupun tidak diberi penglihatan. Berbeza dengan kita yang kadang-kadang mengeluh mata terlalu sepet atau terlalu besar.
Padahal kita masih diberi kesempatan daripada Allah untuk melihat dan menikmati keindahan alam menghijau.
Beliau juga tetap ingin ikut berperang walaupun matanya buta.
Semoga kita dapat meneladani sikap beliau yang tawaduk dan ketaatannya dalam beribadah. Paling penting adalah meneladani sikap beliau yang selalu bersyukur walaupun memiliki kekurangan.
Kenapa pula kita sering memperhatikan kekurangan dalam diri kita? Kekurangan yang sedikit lebih diperhatikan daripada kelebihan yang melimpah ruah.
Allah menciptakan segala sesuatu dengan sempurna dan sesuai dengan diri kita.
Hanya saja kita lebih sering ber-suuzhon (buruk sangka) kepada Allah daripada ber-husnuzhon (berbaik sangka).
Orang yang ditakdirkan Allah s.w.t tidak boleh melihat bukanlah orang yang paling menderita di dunia ini kerana boleh jadi Allah menyelamatkannya mereka dari melakukan maksiat mata apabila diberi penglihatan
sumber : http://aki2004.wordpress.com/2012/02/28/kehebatan-ilmu-keberanian-abdullah-ibnu-ummi-maktum/

3 ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails