Oleh Ustaz Zawawi Yusoh
IMAN adalah membenarkan dengan hati, mengucapkan dengan lisan, dan melakukan dengan anggota badan (beramal). Dengan demikian, iman kepada Allah bererti meyakini dengan sepenuh hati Allah itu ada.
Sebagai Muslim, jangan ada sebarang keraguan terhadap Allah. Kadang-kadang kita alpa untuk mencari dan me ngenali Allah. Ilmuwan, ustaz serta mubaligh janganlah berputus asa dalam memperkenalkan Allah kepada pe nganutnya yang masih tercicir dengan ilmu tauhid ini.
Gunakan segala kebijaksanaan dalam mengajar, manalah tahu cara berhikmah kita menjadi sebab untuk mereka akhirnya mencintai Allah terutamanya kepada yang setengahnya mengenal Tuhan menggunakan logik akal saja tanpa berpandukan hujah naqli (ayat al-Quran dan hadis).
Islam sememangnya logik dan masuk akal walaupun berbicara mengenai perkara ghaib, qada dan qadar, jin dan sebagainya yang hanya nampak tersembunyi sedangkan sangat jelas kalau dilihat de ngan dalil al-Quran dan hadis serta rohani yang bersih.
Sebagai contoh yang kita pernah dengar sekiranya kita membelek kitab ringan untuk mereka yang baru belajar, rasanya sangat sesuai untuk tatapan remaja di ruangan tazkirah kali ini.
Contohnya, kisah seorang pemuda yang belajar di negara barat kononnya mendakwa dirinya pandai. Apabila pulang ke tanah air, dia mencari orang pandai kerana ingin berhujah mengenai ketuhanan dan perkara ghaib.
Akhirnya dia bertemu seorang tua yang alim. Tanya pemuda berkenaan: Anda siapa? Dan apakah boleh menjawab pertanyaan saya?
Jawab orang tua berilmu itu: Saya hamba Allah dan dengan izin-Nya saya akan cuba menjawab pertanyaan anda.
Tanya pemuda: Anda yakin? Sedangkan profesor dan ramai orang pintar tidak mampu menjawab pertanyaan saya.
Jawab orang tua alim itu: Insya-Allah saya akan mencuba sejauh kemampuan saya.
Tanya pemuda: Saya ada tiga pertanyaan.
1. Kalau memang Tuhan itu ada, tunjukkan kewujudan Tuhan kepada saya?
2. Apakah yang dinamakan takdir?
3. Kalau syaitan diciptakan dari api kenapa dimasukkan ke dalam neraka yang dibuat dari api, tentu tidak menyakitkan buat syaitan sebab mereka memiliki unsur yang sama. Sama-sama daripada api. Apakah Tuhan tidak pernah berfikir sejauh itu?
Tiba-tiba orang itu menampar pipi pemuda itu dengan kuat. Tanya pemuda itu sambil menahan sakit: Kenapa anda tampar saya, adakah marah kepada saya?
Jawab orang alim itu: Saya tidak marah... tamparan itu adalah jawapan saya atas tiga pertanyaan yang anda ajukan kepada saya.
Pemuda: Saya sungguh-sungguh tidak mengerti.
Tanya orang alim: Bagaimana rasanya tamparan saya?
Jawab pemuda: Tentu saja saya merasakan sakit.
Tanya orang alim: Jadi anda percaya bahawa sakit itu ada?
Jawab Pemuda: Ya.
Tanya alim: Tunjukkan pada saya wujud sakit itu!
Jawab Pemuda: Saya tidak mampu.
Orang alim: Itulah jawapan pertanyaan pertama. Kita tidak nampak sakit tapi rasa sakit dan percaya adanya sakit itu. Allah tidak nampak tetapi kena percaya adanya Allah. Semua merasakan ada Tuhan tanpa mampu melihat wujudnya.
Tanya orang alim: Apakah tadi malam anda bermimpi akan ditampar oleh saya?
Jawab pemuda: Tidak.
Tanya alim lagi: Apakah anda terfikir akan menerima tamparan dari saya hari ini?
Jawab pemuda: Tidak.
Si alim menjawab: Itulah yang dinamakan takdir, kita tidak tahu apa yang akan berlaku esok dan hari-hari mendatang.
Tanya si alim lagi: Tangan saya diperbuat daripada apa yang digunakan untuk menampar anda?
Jawab pemuda: Kulit.
Tanya si alim lagi: Pipi anda dibuat daripada apa?
Jawab pemuda: Kulit.
Tanya si alim lagi: Bagaimana rasanya tamparan saya?
Jawab Pemuda: Sakit.
Jawab si alim: Tangan saya dan pipi anda sama sahaja. Ada kulit, daging tetapi anda boleh rasa sakit juga. Jika Tuhan berkehendak maka neraka akan menjadi tempat menyakitkan untuk syaitan.
Sebagaimana juga tangan saya sama ada daging atau kulit, sepatutnya anda tidak merasa sakit.
Semoga contoh tidak seberapa ini akan menjadi iktibar mengenai yang ghaib dan tersembunyi sebenar ada dan mesti dipercayai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan