Khamis, 18 Mac 2010

Bagaimana Menguruskan Nikmat

Allah amat mengasihi hambanya dengan memberikan kepadanya pelbagai nikmat samada yang dapat dilihat atau tersembunyi. Kadangkala nikmat datang melalui dugaan dan musibah yang dihadapi. Semuanya itu menandakan kemurahan Allah. FirmanNya dalam surah Lokman ayat 20:

Tidakkah kamu memperhatikan Bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa Yang ada di langit dan Yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada Kami nikmat-nimatNya Yang zahir dan Yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang Yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah Dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk; dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah Yang menerangi kebenaran.

Kalau dihitung nikmat Allah kepada kita pasti kelu lidah ini dan lemah akal ini untuk membilangnya. Semuanya adalah satu kurnian yang amat berharga yang dilupakan oleh manusia. Benarlah satu hadis yang bermaksud sesiapa yang kenal Allah,pasti kelu lidahnya daripada berkata-kata.





Tuntutan utama kepada nikmat ini ialah memperhambakan diri kepadaNya dengan penuh khusyuk dan tawadhuk serta merendah diri. Melakukan segala ketaatan dan meninggalkan segala larangan. Imam Zamaksyari ketika dipotong kakinya kerana masalah kesihatan, beliau berkata: “Allah menjadi saksi bahawa aku menggunakan kaki ini untuk ketaatan kepadanya”. Demikian juga seorang ulama’ yang bernama Urwah Bin Zubair yang juga dipotong kakinya kerana kemalangan. Beliau berkata: “Aku telah menggunakanmu pada jalan taat kepada Allah, maka jangan engkau mendakwaku di akhirat kelak”.

Tuntutan yang kedua ialah senantiasa bersyukur dan memohon Allah memberkati segala apa yang dikurniakan agar menjadi warisan kepada zuriat dan keturunan kita. Ibrahim Bin adham pernah berkata bahawa beliau sentiasa sibuk dengan tiga perkara. Bersyukur dengan nikmat Allah, memohon keampunan atas segala dosa dan sibuk dengan persedian menghadapi mati. Dalam satu hadis Nabi s.a.w. bersabda bahawa Allah Taala suka kepada hambanya yang apabila selesai makan atau minum bersyukur kepada Allah. Bahkan Allah menjanjikan akan ditambah nikmatNya sekiranya kita bersyukur.

Tuntutan yang ketiga ialah berkongsi segala nikmat yang ada bersama dengan seluruh makhluk Allah samada manusia yang beriman, atau sebaliknya. Demikian juga dengan binatang dan jin. Inilah perintah agama. Kalau kita membaca sejarah Nabi s.a.w. bagaimana baginda membantu seluruh manusia, jin dan binatang. Contohnya: Baginda memberi amaran kepada sahabat supaya tidak menganiayai binatang. Bahkan Baginda s.a.w. memberi contoh bagaimana seorang pelacur masuk syurga kerana menyelamatkan seekor anjing yang kehausan. Begitu juga ketika Baginda s.a.w. memberi peringatan kepada orang yang beriman supaya jangan menggunakan tulang binatang untuk beristinjak kerana ianya adalah makanan jin Islam.

Tuntutan yang keempat ialah senantiasa menyebut-menyebut nikmat itu kepada seluruh manusia bagi menandakan betapa pemurahnya Allah. Dalam surah Ad-Dhuha Allah berfirman dengan maksud: “Maka hendaklah engkau menyebut segala nikmat Allah”. Dalam tafsir Imam As-Samarqandi menyebut bahawa: “bersyukur atas segala nikmatnya dan menyebut segala nikmat Allah serta menzahirkan pada tubuh badannya”. Namun awas menyebutnya dengan tujuan berbangga atau di hadapan musuh kerana ianya akan membawa mudharat.


Demikian kita diperintahkan berurusan dengan nikmat. Semoga Allah membantu kita. Amin.


http://tokkupasirgudang.blogspot.com/2010/02/bagaimana-menguruskan-nikmat.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails