Ahad, 31 Januari 2010

Sakit


Salam,

Nak kongsi artikel yang di pos oleh rakan seagama.


Menurut Imam Al-Ghazali, salah seorang ahli sufi yang masyhur, "Penyakit adalah salah satu daripada bentuk pengalaman yang mana dengannya manusia dapat sampai kepada ALLAH s.w.t., kerana ALLAH s.w.t. telah berfirman bahawa penyakit itu adalah hambaNYA dan disertakanNya dengan orang-orang pilihanNya."

Jadi sepatutnyalah kita jangan menganggap penyakit itu sebagai sesuatu yang buruk & amat tidak berguna. Sebaliknya hendaklah kita sedar bahawasanya ia juga adalah makhluk ALLAH s.w.t. yang dijadikan sebenarnya sebagai salah satu mekanisma tubuh badan manusia yang mana berfungsi sebagai pembersih, pemulih & pengimbang dalam semua aspek diri kita, iaitu fizikal, emosional, mental & juga spiritual.

Contohnya demam, selsema, cirit-birit & lain-lain lagi membantu membersihkan badan kita dari anasir-anasir yang tidak berguna & bertoksik. Walaubagaimanapun, masyarakat umum akibat dari terpengaruh dengan sistem perubatan Barat, berhempas pulas hendak menghentikan atau mencegah badan kita ini dari melaksanakan fungsi-fungsinya. Mereka akan sedaya upaya cuba untuk mencegah seseorang itu dari muntah, dari cirit-birit, dari demam & lain-lain lagi dengan pelbagai ubat-ubatan moden yang berkaitan.

Tetapi pada pandangan Perubatan Islam, setiap apa yang terjadi pada tubuh badan manusia itu ada hikmahnya yang tersendiri, yang mana akhirnya dapat membawa tubuh badan itu kembali kepada keadaan yang asal (sembuh) dengan aturan yang telah ditetapkan oleh ALLAH s.w.t. selaku Pencipta manusia itu sendiri. Sudah barang tentulah Dia amat mengetahui akan apa yang perlu dilalui oleh seseorang manusia itu sekiranya dia ingin kembali pulih dari sakitnya.

Secara asasnya, tubuh badan manusia itu sendirilah (dengan kudrat & iradat ALLAH s.w.t.) yang menjalankan proses penyembuhan, bukannya herba, makanan atau lainnya. Kesemua benda-benda ini hanyalah sebagai pemangkin atau pendorong sahaja. Jika kita luka contohnya, bukan iodin, minyak gamat, jahitan atau juga balutan yang menyebabkan kesembuhan tetapi isi-isi dan kulit kitalah yang dengan izin ALLAH s.w.t. kembali membentuk sel-sel baru yang akhirnya mencantumkan kembali luka yang dialami. Ubat-ubatan yang kita gunakan mungkin akan mempercepatkan lagi proses penyembuhan tersebut.

Wallahu a'alam.

Posted by Ibnu Mohammad

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails