SUATU hari Nabi Muhammad s.a.w melabuhkan kepalanya di riba Aisyah sehingga baginda tertidur.
Ketika Aisyah membelai Nabi, dia amat terharu kerana menjadi isteri manusia paling agung di sisi Allah s.w.t . Terdapat ramai wanita dunia ini, tetapi Aisyah terpilih pasangan hidup Rasulullah s.a.w. Perasaan Aisyah bahagia tidak terkira namun dalam suasana hiba itu Aisyah terkedu bimbang jika nasib malang menimpanya seperti isteri nabi lain kerana di dunia mereka hidup bersama nabi sebagai pasangan suami isteri, tetapi pada hari akhirat suami mereka ke syurga manakala mereka ke neraka. Seperti isteri Nabi Nuh dan Nabi Lut yang dirakamkan dalam Surah al-Tahrim ayat 10 antara maksudnya: “Kedua-dua isteri Nabi Nuh dan Nabi Lut kedua-duanya masuklah ke neraka.” Mengingatkan suasana itu, Aisyah bimbang lalu menangis sehingga air matanya jatuh mengalir ke muka Rasulullah yang mulia itu lalu mengejutkan baginda.
Apabila terjaga, baginda terus bertanya kepada A’isyah apa yang terjadi. Aisyah menceritakan hal itu kepada Nabi yang kemudian baginda bersabda yang maksudnya: “Manusia akan lupa segalanya ketika berada pada tiga tempat iaitu ketika menerima catatan amalan, amalan ditimbang dan meniti titian siraatal mustaqim.” Daripada cerita dan hadis ini jelas kemesraan rumah tangga yang dipamerkan Rasulullah. Mereka saling sayang menyayangi walaupun kehidupan yang sederhana. Resipi rumah tangga Rasulullah bertitik tolak daripada menyintai Allah. Apabila Allah menjadi rujukan kehidupan maka Allah akan mengatur seluruh kehidupan. Untuk mendapatkan rumah tangga yang rukun, aman dan damai maka ia perlu bermula dengan menyintai Allah.
Justeru, cintailah (cinta Allah) sebelum menyintai seseorang dan bercintalah dengan orang yang dicintai Allah nescaya kita akan mendapat cinta sejati. Kisah itu tidak selesai di situ saja kerana Allah merancang serta berfikir berkenaan kehidupan selepas dunia. Jika kita berehat sambil berborak bersama keluarga di laman rumah, di hadapan televisyen atau di taman, apakah topik perbincangan kita agaknya? Yang biasa kita bicarakan adalah soal makan, minum, seronok, sukan, filem, gosip kemudian ketawa berdekah-dekah.
Semuanya soal dunia dan hendak berseronok saja. Sebenarnya bukan tidak boleh berseronok dan ketawa, tetapi jangan lupa masa depan beragama dan serta dosa silam.Buat remaja yang suka melepak di tepi jalan dan pusat beli-belah, fikirkan soal mati dan hari akhirat. Jika mahu kebaikan, berkawan dengan mereka yang menyintai Allah. Pilihlah sahabat yang baik budi pekerti dan akhlaknya dan mampu membantu ketika susah dan senang.
Ciri-ciri sahabat yang baik adalah:
1. Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu.2. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu.
3. Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu.
4. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik.
5. Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu.
6. Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya.
7. Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya.
8. Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu.
9. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu.
10. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu.
11. Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu.
12. Jika kamu bercakap-cakap mereka tak lupa akhirat.
Sumber:
http://aki2004.wordpress.com/2010/02/10/cintailah-seseorang-menyintai-allah/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan